Hak pekerja di Malaysia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera dijamin di bawahPerkara 5 Perlembagaan Persekutuan.“Kehidupan” bermaksud bagaimana seseorang mencari sumber pendapatan untuk membeli keperluan dan meneruskan hidup. Pekerjaan merupakan mata pencarian utama untuk kehidupan pekerja.
Salah satu cara untuk menghalang hak untuk menjalani kehidupan adalah dengan memecat atau berhentikan kerja secara tidak adil. Situasi ini dikenali sebagai unfair dismissal atau dibuang kerja secara tidak adil. Pada tahun 2o19, Mahkamah Perusahaan Malaysia telah menerima 10,000 kes pekerja yang dibuang kerja secara tidak adil.
Dibuang kerja: Akta Perhubungan Perusahaan 1967
Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (IRA) mengawal hak dan kewajipan majikan dan pekerja dalam kes pemberhentian kerja. Akta ini menyediakan kerangka undang-undang dalam menentukan sama ada pemecatan dilakukan secara adil atau sebaliknya. Jika terdapat pelanggaran terhadap akta ini, termasuk diberhentikan kerja tanpa alasan munasabah, majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti ganti rugi atau pemuliahan kerja kepada pekerja tersebut.
IRA mengandungi mekanisme yang direka untuk menyelesaikan pertikaian tentang hak pekerja di Malaysia adan menyediakan remedi yang tidak diberikan dalam common law dan Akta Kerja 1955.
Bila pemberhentian kerja secara tidak adil berlaku?
Di Malaysia, anda mungkin dipecat/dibuang kerja secara tidak adil, jika anda diberhentikan tanpa alasan munasabah (Seksyen 20(1)). Maksud ‘tanpa sebab atau alasan munasabah’ tidak dinyatakan dalam Akta tersebut. Jadi, setiap kes akan dinilai berdasarkan fakta masing-masing. Majikan perlu ada alasan yang sah seperti prestasi kerja yang teruk dan diberhentikan kerja kerana salah laku. Pemberhentian kerja boleh dianggap tidak adil jika majikan tidak dapat memberi alasan yang sah.
Jika seseorang pekerja dibuang kerja kerana menggunakan hak pekerja, seperti cuti bersalin atau menyertai kesatuan sekerja, pemecatan tersebut juga dianggap tidak adil. Majikan tidak boleh berhentikan pekerja hanya kerana pekerja gunakan hak pekerja yang sah di sisi undang-undang..
Satu lagi situasi yang boleh dianggap dibuang kerja secara tidak adil adalah Diskriminasi. Jika majikan pecat pekerja disebabkan bangsa, agama, jantina atau sifat yang dilindungi yang lain, alasan tersebut dianggap mendiskriminasi, jadi ia bermaksud tidak adil.
Beza antara pemberhentian kerja dan pemecatan terancang
Nota: Pekerja yang dibuang kerja secara tidak adil berbeza dengan pemecatan terancang. Pemecatan terancang juga dikenali sebagai ‘constructive dismissals’.
- Pemecatan terancang merupakan sejenis pemberhentian kerja/pemecatan tidak adil. Ia berlaku apabila majikan dengan sengaja membuatkan persekitaran pekerja jadi lebih teruk atau memberi layanan buruk kepada pekerja yang akhirnya membuatkan pekerja tersebut berhenti kerja. Selain itu, majikan juga memberi tekanan kepada pekerja sehingga pekerja merasakan berhenti kerja adalah satu-satunya pilihan yang ada.
Pekerja majikan boleh dianggap memecat pekerja secara terancang apabila:
- Turunkan jawatan pekerja atau halang pekerja dari melakukan kewajipan kerja.
- Tidak masukkan pekerja dalam mesyuarat di mana mereka perlu hadir untuk buat keputusan.
- Diskriminasi terhadap perkara berdasarkan bangsa, umur atau kepercayaan agama, yang menyebabkan pekerja rasa terpinggir atau hilang keyakinan di tempat kerja.
- Pemberhentian kerja (direct) merupakan sejenis pemecatan di mana majikan tamatkan kontrak pekerja tanpa notis atau bayaran (pampasan) untuk gantikan notis (in lieu). Pemecatan sebegini biasanya berlaku untuk salah laku serius, seperti mencuri, penipuan, mendedahkan maklumat sulit kepada pihak ketiga atau keganasan di tempat kerja. Majikan mempunyai sebab kukuh atau asas untuk memberhentikan kontrak pekerja tanpa notis atau pampasan sebagai ganti notis (in lieu).
**Pemberhentian kerja secara langsung mungkin boleh jadi pemberhentian yang adil atau tidak adil. Namun, pemecatan terancang adalah sejenis pemberhentian yang tidak adil. Fokus artikel ini adalah terhadap pemberhentian kerja yang tidak adil di Malaysia.
Cara Buat Tuntutan untuk Pekerja Dibuang Kerja Secara Tidak Adil
Seksyen 20(1) di dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menyatakan:
“Apabila seseorang pekerja, tidak kira beliau ahli kesatuan pekerja atau sebaliknya, merasakan dirinya telah diberhentikan kerja oleh majikan tanpa sebab atau alasan munasabah, pekerja tersebut boleh membuat representasi bertulis kepada Ketua Pengarah untuk dikembalikan kerja semula, representasi tersebut boleh difailkan di pejabat Ketua Pengarah terdekat dengan tempat kerja di mana pekerja tersebut telah diberhentikan.”
Untuk buat tuntutan pembuangan kerja secara tidak adil di Malaysia, langkah berikut mesti dilakukan:
- DAPATKAN BUKTI – langkah pertama yang perlu dilakukan pekerja jika merasakan telah diberhentikan kerja secara tidak adil adalah mengumpul sebanyak mungkin bukti untuk menyokong kes mereka. Antara perkara boleh dijadikan bukti adalah e-mel, surat-menyurat, penyata saksi, dan dokumen lain yang relevan.
- HUBUNGI Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), secara khususnya Ketua Pengarah untuk failkan aduan. Aduan untuk pemberhentian kerja secara tidak adil perlu mengandungi butiran pemecatan, alasan yang diberikan oleh majikan dan sebarang bukti untuk menyokong tuntutan.
- Menghadiri proses MEDIASI – selepas memfailkan aduan, pihak JPP akan menetapkan sesi mediasi antara pekerja dan majikan untuk cari penyelesaian tanpa perlu ke mahkamah, pegawai dari JPP akan memainkan peranan sebagai mediator dan akan cuba berunding dengan majikan dan pekerja untuk mencari penyelesaian bersama.
Pihak-pihak tidak boleh melantik legal representation untuk hadir ke mediasi ini. Namun, kedua-dua pihak boleh melantik orang lain untuk mewakili mereka asalkan individu tersebut bukan seorang peguam. Untuk menggunakan wakil, perlu membuat permohonan bertulis kepada Ketua Pengarah. Biasanya, wakil tersebut terdiri dari ahli keluarga atau wakil dari kesatuan sekerja. Jika penyelesaian berjaya dicapai, kes ini akan ditamatkan tanpa perlu pergi ke mahkamah.
Tempoh Masa untuk Failkan Aduan ke JPP
Di bawah Seksyen 20(1A) Akta Perhubungan Perusahaan, aduan bertulis perlu difailkan ke Ketua Pengarah dalam masa 60 hari dari tarikh dibuang kerja. Jika seseorang pekerja itu diberhentikan dengan notis, had masa dikira berdasarkan tempoh notis.
Perbicaraan di Mahkamah Perusahaan
Jika pihak-pihak gagal mendapatkan penyelesaian di rundingan damai, kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Perusahaan untuk dibicarakan. Mahkamah Perusahaan akan mendengar bukti dari kedua belah pihak dan membuat keputusan berdasarkan merit. Proses perbicaraan di Mahkamah Perusahaan adalah sama dengan prosedur perbicaraan tindakan sivil.
(1) Sebelum Bicara
Untuk memaklumkan majikan dan pekerja bahawa kes mereka telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan, Mahkamah akan mengeluarkan Notis Sebutan kepada kedua-dua pihak. Dari saat ini, pekerja akan dikenali sebagai pembuat tuntutan (claimant).
Kini, pihak-pihak boleh menggunakan peguam sebagai wakil. Pihak yang ingin mewakili mana-mana pihak perlu memfailkan permohonan untuk kebenaran mewakili dan waran otoriti untuk membenarkan mereka mewakili pihak berkenaan di mahkamah.
Hakim akan memberikan arahan apakah dokumen mahkamah yang perlu difailkan. Penuntut perlu failkan pernyataan kes. Majikan (kini dirujuk sebagai syarikat) perlu memfailkan pernyataan jawapan, dan sekiranya penuntut mahu, mereka boleh failkan jawapan kepada pernyataan jawapan syarikat tersebut.
Apabila Mahkamah Perusahaan telah berpuas hati kedua pihak telah failkan dokumen dan penyata yang betul, tarikh bicara akan ditetapkan.
(2) Perbicaraan
Saksi untuk kedua-dua pihak akan dipanggil untuk menyokong kes masing-masing. Pihak syarikat akan membentang kes dahulu. Ini kerana beban pembuktian terletak pada syarikat untuk buktikan pemecatan dilakukan atas sebab munasabah. (Nota: berbeza dalam kes pemecatan terancang dimana beban pembuktian terletak pada pekerja).
Selepas syarikat membentangkan kes, giliran pihak penuntut pula untuk membentangkan kes mereka.
Biasanya, pihak Mahkamah akan meminta kedua belah pihak untuk memfailkan hujahan bertulis di akhir perbicaraan.
Mahkamah perlu menilai semua bukti dan hujahan yang telah didengar serta alasan pemecatan jika ia dilakukan atas alasan tertentu. Jika pemberhentian kerja dibuat tanpa sebab, Mahkamah akan menilai samada situasi pemecatan tersebut adil atau sebaliknya.
(3) Keputusan (Award)
Jika Mahkamah mendapati pemecatan dibuat tanpa alasan atau sebab munasabah, pemecatan tersebut dianggap dibuat secara tidak adil serta salah dan akan membuat keputusan yang dipanggil award.
Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah Perusahaan
Di bawah Seksyen 33(C) Akta tersebut, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap award Mahkamah Perusahaan, dalam masa 14 hari boleh merayu ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi akan membuat semakan dan membuat keputusan. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.
Unfair Dismissal Remedies
Remedi untuk Pekerja Dibuang Kerja Secara Tidak Adil
Terdapat beberapa remedi yang boleh diperintahkan Mahkamah:
- Kembalikan jawatan pekerja – namun, Mahkamah jarang memberi award sebegini disebabkan sifat pekerjaan yang bersifat peribadi dan hubungan majikan dan pekerja pastinya telah terjejas pada tahap ini.
- Mahkamah boleh mengarahkan pampasan dibuang kerja – biasanya pampasan dikira berdasarkan gaji satu bulan setiap tahun pekerja memegang jawatan tersebut. Nilai pampasan mungkin juga bergantung kepada faktor lain seperti tempoh perkhidmatan, gaji terakhir dan cara pemecatan.
- Pekerja juga boleh mendapatkan back wages yang sepatutnya akan diterima jika tidak dibuang kerja. Back wages mungkin diberi sebagai tambahan kepada pampasan yang bayar. Namun, had maksimum back wages yang boleh diterima adalah 24 bulan. Faedah mungkin boleh dikenakan ke atas back wages ini.
- Remedi sivil yang lain adalah seperti perintah pemberhentian (cease and desist) kepada majikan untuk menghentikan amalan buruh/pekerjaan yang tidak adil atau perintah kepada majikan untuk menyediakan surat rujukan (reference) kepada pekerja.
Jangan Biarkan Pemberhentian Kerja Secara Tidak Adil Berlaku
Pekerja perlu failkan aduan ke JPP dalam masa enam puluh hari dari tarikh diberhentikan.
Untuk majikan pula, dapatkan nasihat guaman secepat mungkin jika syarikat anda berdepan dengan tuntutan unfair dismissal dari pekerja. Situasi ini boleh memberi kesan yang signifikan dan jangka panjang, dan pampasan yang mungkin perlu diberi menjangkau ribuan atau ratusan ribu Ringgit.
Cara terbaik untuk melindungi anda dan perniagaan anda daripada tuduhan yang tidak berasas ini adalah dengan dapatkan nasihat dari peguam yang berpengalaman dalam bidang ini.