Fahami Hak Cuti Pekerja di Malaysia
Sebagai seorang pekerja di Malaysia, anda berhak mendapat enam (6) jenis cuti yang berbeza sepertimana diperuntukan oleh Akta Kerja 1955. Cuti berkanun atau statutori bermaksud jumlah minimum cuti wajib pekerja yang bergaji dalam setahun, berhak dinikmati oleh pekerja.
Selain daripada bilangan minimum cuti yang disebut dalam akta tersebut, cuti jenis lain– ditentukan oleh amalan dan polisi industri–berbeza antara syarikat. Polisi tentang cuti biasanya disebut dalam kontrak pekerjaan.
Artikel ini akan menerangkan tentang cuti yang dinyatakan dalam undang-undang pekerjaan di Malaysia serta cuti yang tidak dinyatakan dalam akta, tetapi biasa diberikan untuk pekerja swasta, contohnya cuti kematian ahli keluarga pekerja swasta.
*Bermula dari 1 Januari 2023, Akta Kerja terpakai untuk semua pekerja tidak kira berapa gaji diterima. Namun, terdapat beberapa seksyen khusus yang tidak terpakai untuk pekerja yang bergaji bulanan lebih daripada RM 4,000.
(1) Cuti Sakit [Seksyen 60F]
Cuti sakit pekerja, bergantung kepada berapa lama pekerja itu telah berkhidmat. Di Malaysia, setiap pekerja berhak mendapat cuti sakit seperti berikut:
- Berkhidmat kurang dari dua tahun: 14 Hari
- Berkhidmat lebih dari dua tahun tetapi kurang dari lima tahun: 18 Hari
- Berkhidmat lebih dari lima tahun: 22 Hari
Beza cuti sakit dan cuti masuk hospital
Cuti sakit pekerja dan cuti masuk hospital adalah dua jenis cuti yang berbeza. Cuti sakit diberikan apabila pekerja jatuh sakit tetapi tidak perlu masuk hospital. Tidak kira berapa lama tempoh perkhidmatan, setiap pekerja berhak mendapat cuti masuk hospital selama 60 hari setiap tahun.
Sijil cuti sakit (MC) dari doktor panel: perlu atau tidak?
Pekerja yang mengambil cuti sakit perlu memberi MC yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berlesen hospital kerajaan. Menurut Seksyen 60F (1) Akta Kerja 1955 pekerja tersebut perlu diperakui tidak sihat oleh doktor panel untuk mendapatkan cuti sakit bergaji. Jika surat cuti sakit dikeluarkan oleh doktor yang bukan panel, pekerja tersebut mungkin tidak layak mendapat cuti sakit bergaji.
Terdapat dua pengecualian untuk peraturan di atas, iaitu:
- Jika perkhidmatan doktor panel tidak tersedia pada masa atau tempat ketika pekerja jatuh sakit, pekerja tersebut boleh pergi ke mana-mana doktor dan jika didapati tidak sihat untuk bekerja, layak mendapat cuti sakit berbayar.
- Dalam keadaan kecemasan, pekerja tersebut boleh pergi dapatkan rawatan ke mana-mana doktor, tidak semestinya doktor panel.
Bagaimana jika cuti sakit bergaji pekerja sudah habis?
Sekiranya cuti sakit pekerja sudah habis digunakan, pekerja mungkin perlu mengambil cuti tanpa gaji jika ingin terus bercuti disebabkan sakit. Ini kerana, Akta Kerja hanya menyatakan 14-22 hari cuti sakit bergaji, bergantung kepada tempoh perkhidmatan. Jika pekerja memerlukan lebih masa untuk pulih dari penyakit yang dialami, mereka mungkin perlu berbincang dengan majikan untuk melanjutkan tempoh cuti.
(2) Cuti Umum [Seksyen 60D]
Setiap pekerja berhak mendapat cuti umum berbayar pada kadar gaji biasa untuk hari berikut dalam satu tahun kalender:
- Sebelas (11) cuti umum yang telah diwartakan, lima (5) daripada cuti tersebut adalah Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Hari Keputeraan Raja/Yang Dipertuan Negeriuntuk negeri di mana syarikat tersebut terletak, Hari Pekerja dan Hari Malaysia; dan
- Enam cuti umum yang lain boleh dipilih dari mana-mana cuti umum yang diwartakan untuk tahun tersebut di bawah Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951
Cuti Umum di Malaysia untuk 2023
(3) Cuti Tahunan Pekerja [Seksyen 60E]
Di bawah Akta Kerja, pekerja berhak diberi cuti tahunan minimum 8-16 hari. Tempoh cuti tahunan ini bergantung kepada tempoh perkhidmatan pekerja tersebut. Bilangan minimum hari yang patut diberi adalah:
- Bekerja kurang dari dua tahun: 8 Hari
- Bekerja lebih dari dua tahun tetapi kurang dari tiga tahun: 12 hari
- Bekerja lebih dari lima tahun: 16 Hari
Pekerja yang bekerja kurang dari setahun
Bagi pekerja yang bekerja secara berterusan kurang dari 12 bulan untuk majikan yang sama, cara pengiraan cuti tahunan pekerja swasta adalah secara pro rata. Pro rata merujuk kepada cuti tahunan yang layak dinikmati berdasarkan tempoh berapa lama pekerja tersebut telah bekerja di syarikat itu.
Sebagai contoh, seorang pekerja berhak mendapat cuti tahunan selama empat (4) hari jika mereka bekerja hanya selama enam (6) bulan untuk tahun tersebut. Jika pekerja jatuh sakit pada hari cuti tahunan yang diambil, cuti tahunan tersebut akan digantikan oleh cuti sakit. Cuti tahunan itu akan dianggap seperti masih lagi tidak digunakan.
Cara memohon cuti tahunan
Akta Kerja 1955 tidak menyatakan prosedur pekerja memohon cuti tahunan. Oleh itu, majikan perlu menerangkan prosedur tersebut dan maklumkan kepada pekerja. Biasanya, majikan akan meminta pekerja buat permohonan cuti tahunan lebih awal. Majikan perlu tentukan:
- Kepada siapa pekerja perlu memohon kebenaran untuk bercuti;
- Berapa hari notis perlu diberikan terlebih dahulu untuk memohon cuti; dan/li>
- Apakah dokumen/borang yang perlu dilengkapkan untuk memohon cuti tahunan.
Pekerja hanya boleh mula bercuti jika pihak majikan meluluskan cuti tahunan. Pekerja yang bercuti tanpa kebenaran dianggap telah melakukan salah laku dan tindakan tatatertib mungkin akan dikenakan.
Cuti tahunan yang tidak habis
Pekerja mesti menghabiskan cuti tahunan mereka dalam tempoh 12 bulan. Namun, sekiranya masih terdapat lebihan cuti tahunan di penghujung tahun, terdapat dua pilihan yang ada untuk mereka:
- Bawa ke hadapan – Cuti tahunan yang tidak digunakan akan dibawa ke tahun berikutnya, tertakluk kepada polisi syarikat.
- Tukar kepada tunai – Sebagai alternatif, pihak majikan boleh membayar pekerja bagi cuti tahunan yang tidak digunakan. Kadar bayaran adalah bersamaan kadar gaji biasa pekerja.
Dua pilihan yang disebutkan tidak diwajibkan dalam Akta Kerja 1955 dan tertakluk kepada budi bicara majikan serta terma dan syarat yang ditetapkan oleh majikan. Bagi pekerja, praktis terbaik adalah rancang cuti tahunan anda dan mohon lebih awal. Cuti tahunan adalah hak anda. Namun, kelulusan cuti tahunan bergantung kepada kelulusan dan budi bicara majikan.
(4) Cuti bersalin/Maternity Leave [Seksyen 37]
Berdasarkan Konvensyen Perlindungan Materniti 2000, Parlimen Malaysia telah menaikkan cuti bersalin untuk semua pekerja wanita dari 60 kepada 98 hari berturut-turut. Setiap pekerja wanita berhak mendapat cuti bersalin jika mereka memenuhi dua syarat ini:
- Mereka telah bekerja bersama majikan sekurang-kurangnya 90 hari berterusan dalam masa empat bulan sebelum bersalin;dan
- Tidak memiliki lebih dari lima orang anak yang masih hidup.
Pekerja wanita yang sedang mengandung boleh mulakan cuti bersalin 0 hari sebelum hari dijangka kelahiran (due date) atas nasihat pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan. Namun begitu, paling awal pekerja boleh mula cuti bersalin adalah pada hari kelahiran.
Selain itu, Akta Kerja 1955 juga membenarkan pekerja wanita kembali semula bekerja sebelum tamat tempoh 98 hari, tertakluk kepada kelulusan majikan. Pekerja tersebut juga perlu disahkan sihat untuk bekerja semula selepas bersalin.
Di bawah Seksyen 40 akta tersebut, pekerja wanita yang gagal maklumkan kepada majikan tentang cuti bersalin mungkin akan kehilangan hak untuk menerima elaun materniti dari majikan. Jadi, pekerja wanita yang mengandung disarankan untuk maklumkan kepada majikan sebaik sahaja mereka disahkan mengandung. Ini membolehkan majikan melakukan persediaan semasa ketiadaan mereka.
(5) Cuti Paterniti/Paternity Leave [Seksyen 60FA]
Cuti Paterniti merupakan perkara terbaru yang ditambah pada pindaan baru Akta Kerja 1955. Dalam pindaan tersebut, pekerja lelaki yang sudah berkahwin berhak mendapatcuti paterniti bergaji selama 7 hari berturut-turut dengan syarat:
- Mereka telah bekerja di majikan yang sama sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum cuti paterniti bermula;
- Mereka telah maklumkan kepada majikan sekurang-kurangnya 30 hari dari tarikh jangkaan kelahiran atau seawal mungkin selepas kelahiran.
Namun, cuti paterniti terhad kepada 5 kali kelahiran dan tidak kira bilangan pasangan (isteri) pekerja lelaki tersebut.
(6) Cuti pilihan lain
Selain dari cuti yang disebutkan di atas, Akta Kerja 1955 tidak memperuntukkan cuti yang lain. Namun, pekerja boleh memohon cuti pilihan lain bergantung kepada persetujuan dalam kontrak pekerjaan dan budi bicara majikan itu sendiri. Antara cuti yang biasanya diberikan kepada pekerja adalah:
- Cuti Kahwin diberikan untuk pekerja yang akan melangsungkan perkahwinan agar mereka dapat merancang dan mungkin ingin berbulan madu.
- Cuti Belajar diberikan untuk pekerja yang ingin melanjutkan pelajaran atau latihan yang relevan dengan pekerjaan mereka.
- Cuti Ihsan (Compassionate/bereavement) diberikan untuk pekerja yang perlukan ruang/cuti atas sebab peribadi) seperti menjaga ahli keluarga yang sakit atau menyelesaikan urusan peribadi.
- Cuti Umrah/Haji diberikan kepada pekerja beragama Islam yang ingin menunaikan Haji atau Umrah di Mekah.
Kesimpulan
- Anda perlu peka terhadap peraturan cuti bergaji di Malaysia. Dengan mengetahui perkara tersebut, anda boleh berbincang dengan majikan untuk mendapatkan terma atau hak cuti yang sama atau lebih baik dalam kontrak pekerjaan anda berbanding yang diperuntukkan oleh undang-undang.
- Pekerja perlu faham dengan hak cuti mereka dan majikan perlu tahu peraturan mengenai cuti dari segi undang-undang agar dapat membuat polisi dengan jelas dan telus.
- Jika anda perlukan penjelasan lanjut tentang pilihan cuti dalam terma kontrak pekerjaan anda, dapatkan nasihat dari peguam.