Berdasarkan statistik terkini Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), kes kebankrapan telah meningkat sejak beberapa tahun ini. 34,043 individu telah diisytiharkan bankrap dari tahun 2019 sehingga April 2023. Jumlah ini menunjukkan terdapat trend membimbangkan terhadap masalah kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, jumlah tersebut menunjukkan kepentingan memahami proses bankrap di Malaysia dan perlunya mendapatkan nasihat guaman yang tepat. 

Undang-undang yang mengawal kebankrapan di Malaysia ialah Akta Insolvensi 1967 (“Akta tersebut”). Akta ini menyatakan hak-hak dan kewajipan untuk penghutang (debtor) dan pemiutang (creditor) serta prosedur kebankrapan dan pemfailan yang diperlukan dalam kebankrapan. 

Punca muflis atau kebankrapan di Malaysia 

Terdapat banyak punca kebankrapan di Malaysia. Namun, biasanya berpunca daripada berhutang luar kemampuan, kehilangan kerja atau pengangguran, pembiayaan perubatan, perceraian atau perpisahan atau kegagalan perniagaan.

Berhutang di luar kemampuan merupakan sebab utama individu diisytiharkan bangkrap. Ia boleh berlaku disebabkan belanja berlebihan, gaya hidup diluar kemampuan atau mengambil terlalu banyak hutang tetapi tidak mampu bayar. Apabila hutang jadi terlalu banyak, dan individu tersebut tidak dapat tunaikan kewajipan kewangannya, sebagai cara menyelesaikan masalah, bankrap membolehkan individu menghapuskan atau menyusun semula hutang dan mulakan hidup baru. 

Bila seseorang dianggap bankrap? 

Menurut Seksyen 5 Akta tersebut, seseorang individu akan diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi jika mempunyai hutang sekurang-kurangnya RM100,000.00 dan tidak mampu membayar hutang tersebut dalam masa enam bulan selepas diserahkan notis kebankrapan.  

Berapa lama proses bankrap di Malaysia 

Proses untuk mengisytiharkan seseorang itu muflis di Malaysia melibatkan beberapa langkah. a Ia dimulakan dengan pemfailan petisyen kebankrapan oleh penghutang atau pemiutang (pihak yang menuntut hutang).

(1) Petisyen Pemiutang (Creditor’s Petition)

Dalam konteks kebankrapan di Malaysia, petisyen pemiutang merupakan permohonan rasmi yang dibuat oleh pemiutang kepada Mahkamah bagi mendapatkan perintah mengisytiharkan penghutang sebagai bankrap selepas memenuhi syarat kebankrapan. 

Biasanya petisyen ini dfailkan apabila penghutang gagal membayar walaupun telah menerima surat tuntutan statutori. Objektif petisyen pemiutang adalah untuk mendapatkan hutang tertunggak dengan cara membawa penghutang ke prosiding kebankrapan. 

Petisyen pemiutang yang berjaya diserahkan boleh memberi kesan berat kepada penghutang. Ia menandakan bermulanya prosiding kebankrapan dan akan menjejaskan creditworthiness dan  reputasi kewangan penghutang. 

Jika pihak Mahkamah mendapati petisyen pemiutang adalah sah, Mahkamah akan mengeluarkan perintah kebankrapan terhadap penghutang. Perintah ini mengisytiharkan penghutang sebagai seorang bankrap dan memindahkan kawalan aset dan urusan kewangan penghutang kepada JIM.

(2) Petisyen Penghutang (Debtor’s Petition)

Di bawah Seksyen 7 Akta tersebut, penghutang boleh mengisytiharkan dirinya tidak mampu membayar pemiutang dengan memfailkan sendiri petisyen penghutang. Sebaik sahaja difailkan, petisyen penghutang tidak boleh ditarik balik tanpa kebenaran Mahkamah.

Petisyen ini perlu difailkan di Mahkamah di negeri tempat tinggal penghutang. Sebelum memfailkan petisyen penghutang, deposit berjumlah RM1,500 perlu dibayar kepada JIM sebagai kos untuk mentadbir proses kebankrapan penghutang.

Mahkamah tidak akan menerima pemfailan petisyen tersebut melainkan terdapat bukti resit deposit. Salinan termaterai petisyen pemiutang perlu diserahkan kepada JIM secara pos atau kendiri (personal). Di hari perbicaraan petisyen pemiutang, Mahkamah akan memberi Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman (AORO). Perintah ini tidak hanya mengisytiharkan individu bankrap, ia juga memberi kuasa kepada JIM sebagai pelikuidasi untuk mengambil alih aset dan urusan kewangan penghutang. Namun, petisyen ini boleh dibatalkan jika penghutang tidak hadir pada hari perbicaraan.

Kesan bankrap kepada anda

Terdapat beberapa kesan dan prosedur yang akan berlaku setelah seseorang individu diisytiharkan bankrap di Malaysia.

Penyitaan dan jualan 

Pertama sekali, aset anda akan disita dan dijual untuk melangsaikan hutang anda. Aset yang dimaksudkan termasuk hartanah, kenderaan, pelaburan dan harta milikan yang lain. Hasil jualan akan diagihkan antara pemiutang mengikut senarai keutamaan seperti diperuntukkan oleh undang-undang.

JIM mempunyai kuasa untuk menjual harta anda, namun Seksyen 48 Akta tersebut memberi pengecualian untuk:

  • Anda masih boleh memiliki barang keperluan asas untuk keluarga dan kehidupan seharian, namun berjumlah tidak melebihi RM5,000. (Kelengkapan mencari rezeki/pekerjaan tidak boleh dirampas, tetapi ia termasuk di dalam had RM5,000 ini). 
  • JIM tidak dibenarkan menjual harta yang anda pegang secara amanah (trust) bagi pihak lain

Apabila aset anda telah selesai dijual dan hasil jualan diagihkan kepada pemiutang, pemiutang tidak boleh membuat tuntutan lagi terhadap anda.

Terdapat dua jenis pemiutang: 

  1. Secured creditors (bercagar) –  Hutang yang mempunyai cagaran, contohnya kepada bank. Harta yang dicagar untuk pinjaman, seperti rumah atau kereta, boleh disita oleh pihak bank dan dijual untuk melangsaikan hutang. Jika terdapat baki, akan diserahkan kepada JIM.
  2. Unsecured creditors (tidak bercagar): Hutang yang tidak mempunyai cagaran

Skor Kredit 

Yang keduanya, apabila diisytiharkan bankrap skor kredit dan reputasi kewangan anda akan terjejas. Nama anda disenaraikan dalam rekod yang boleh diakses oleh orang ramai. Carian kebankrapan ini boleh dilakukan di portal e-insolvensi. Bayaran RM10.00 dikenakan bagi setiap carian. 

Senarai ini akan kekal dalam tempoh tertentu, biasanya untuk lima tahun, atau anda telah melangsaikan hutang anda. Untuk mendapatkan kredit, seperti pinjaman atau kad kredit mungkin sukar memandangkan kebanyakan institusi kewangan tidak akan beri pinjaman kepada individu bankrap. 

Adakah individu bankrap boleh ke luar negara & ada sekatan lain dikenakan?

Seksyen 38 Akta tersebut mengenakan beberapa sekatan terhadap terhadap individu bankrap. Sekatan ini bertujuan untuk melindungi pemiutang dan mengawal aktiviti individui bankrap. Sekatan untuk di bawah seksyen ini adalah: 

  • Individu bankrap tidak boleh menjalankan perniagaan tanpa kebenaran JIM untuk mengelakkan lebih banyak hutang dibuat dan potensi untuk menipu pemiutang.
  • Individu bankrap tidak boleh dilantik sebagai pengarah syarikat tanpa kebenaran JIM. Ini kerana posisi tersebut boleh mendedahkan risiko kepada hal ehwal kewangan syarikat dan kepentingan stakeholders
  • Tidak boleh bekerja dalam profesion tertentu, seperti peguam atau akauntan. 
  • Jika memiliki kad kredit, individu bankrap hanya boleh memiliki kredit maksimum RM1,000.00. 
  • Individu bankrap boleh buka akaun bank tetapi hanya satu akaun sahaja dibenarkan untuk menerima pendapatan bulanan dan akaun lain akan dinyahaktifkan. 
  • Pasport individu bankrap perlu diserahkan kepada JIM, dan tidak dibenarkan ke luar negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi.
  • Individu bankrap perlu melaporkan wang yang diterima melebihi RM500 dan menghantar laporan pendapatan dan perbelanjaan setiap 6 bulan ke JIM.
  • Kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi diperlukan untuk sebarang prosiding undang-undang terhadap individu bankrap (selain daripada tuntutan ganti rugi kemalangan)

Sekatan di bawah Seksyen 38 tersebut hanya terpakai dalam tempoh kebankrapan. Sebaik sahaja status bankrap dilepaskan/dilucutkan, sekatan tersebut tidak boleh dikenakan dan individu tersebut boleh meneruskan aktiviti kewangan tanpa perlukan kebenaran dari Ketua Pengarah Insolvensi.

Adakah anda boleh diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuan anda? 

Sebelum ini, anda mungkin boleh diisytiharkan bankrap di luar pengetahuan. Dokumen mahkamah (court papers) mungkin diserahkan secara penyampaian ganti (tidak diserahkan secara kendiri, tetapi diletakkan di tempat kerja, disiarkan di surat khabar atau diposkan). 

Namun, syarat untuk penyampaian ganti telah diperketatkan sejak pindaan undang-undang dilakukan. Penyampaian ganti hanya boleh dilakukan jika pemiutang dapat membuktikan kepada Mahkamah yang penghutang mengelak atau menangguhkan dengan sengaja untuk diserahkan dokumen tersebut.

Untuk mengelakkan menjadi bankrap di luar pengetahuan individu mesti peka dengan situasi kewangan sendiri. Mereka perlu semak laporan kredit secara kerap, dan cuba langsaikan hutang tertunggak dengan segera. Sikap proaktif dan waspada dapat meminimumkan risiko menjadi bankrap tanpa pengetahuan serta mengambil tindakan yang sesuai untuk menguruskan hal ehwal kewangan dengan efektif.

Apa yang boleh dibuat ketika hampir menjadi bankrap?

Kebankrapan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian yang ada. Undang-undang baru di Malaysia membolehkan anda berbincang tentang masalah kewangan yang dialami tanpa perlu sehingga menjadi bankrap.

Untuk mengelakkan diisytiharkan bankrap, Seksyen 2(c)(1) Akta tersebut membenarkan penghutang berbincang (perkiraan) secara sukarela dengan pemiutang untuk mengubah pelan pembayaran balik dan susun semula hutang mereka. 

Perjanjian sukarela dalam kebankrapan merujuk kepada persetujuan undang-undang antara penghutang dan pemiutang untuk membayar semula hutang tempoh tertentu. Perkiraan (arrangement) ini biasanya melibatkan pelan pembayaran semula yang mampu dibayar dan diterima oleh kedua pihak.

Untuk memulakan perjanjian sukarela dalam kebankrapan, pihak penghutang perlu terlebih dahulu maklumkan kepada pemiutang tentang hasrat untuk memasuki perjanjian sebegitu. Sebaik sahaja dipersetujui, perjanjian tersebut mesti dibuat dalam bentuk perjanjian rasmi yang dikenali sebagai cadangan perkiraan sukarela (voluntary arrangement proposal). Cadangan ini akan menyatakan terma dan syarat perjanjian atau peruntukan lain yang relevan.

Harus diingat, perjanjian sukarela dalam kebankrapan tidak melupuskan keseluruhan hutang penghutang. Namun ia menyediakan kaedah pembayaran berstruktur dan mampu dilaksanakan untuk melangsaikan hutang dalam tempoh tertentu. Penghutang perlu mematuhi terma perjanjian dan buat pembayaran tanpa gagal seperti yang telah dipersetujui. Sekiranya gagal, perjanjian mungkin akan ditamatkan dan penghutang akan berdepan tindakan prosiding kebankrapan.

Kebankrapan di Malaysia: Adakah penjamin boleh dibankrapkan? 

Sebelum ini, ramai rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap kerana menjadi penjamin. Pindaan undang-undang terbaru telah mengubah situasi ini.

Dalam undang-undang, terdapat perbezaan antara penjamin sosial dan penjamin bukan sosial.

Penjamin sosial ialah individu yang menawarkan jaminan bukan untuk keuntungan tetapi untuk mana-mana perkara berikut:  

  1. Pinjaman pendidikan, biasiswa, geran untuk penyelidikan; 
  2. Transaksi sewa beli untuk tujuan peribadi atau bukan perniagaan; dan
  3. Pinjaman perumahan untuk didiami sendiri.

Imuniti total – sebelum pindaan, tindakan kebankrapan mungkin dibuat terhadap penjamin sosial apabila mahkamah berpuas hati pemiutang telah melakukan segala usaha untuk mendapatkan semula jumlah terhutang. Di bawah Seksyen 5(3) Akta pindaan tersebut, posisi ini telah berubah. Kini, penjamin sosial kebal dari sebarang tindakan kebankrapan.

Di Malaysia, penjamin bukan sosial boleh diisytiharkan bankrap. Penjamin bukan sosial menjamin pinjaman atau hutang untuk orang atau entiti lain, seperti syarikat. Jika penjamin bukan sosial tidak dapat membayar balik hutang dan pihak pemiutang ingin memfailkan tindakan bankrapsi terhadap penjamin bukan sosial, tindakan kebankrapan boleh difailkan di Mahkamah di Malaysia. 

Pihak Mahkamah akan menilai situasi kewangan penjamin bukan sosial dan akan buat keputusan sama ada penjamin bukan sosial tersebut perlu diisytiharkan bankrap. Penjamin bukan sosial perlu tahu kewajipan kewangan dan kesan yang mungkin timbul jika menjadi penjamin kepada sesebuah pinjaman atau hutang. 

Kesan bankrap terhadap pekerjaan

Dalam kes kebankrapan di Malaysia, individu bankrap boleh terus bekerja atau dapatkan pekerjaan baru. Namun, mungkin terdapat sekatan dalam kontrak pekerjaan atau dokumen syarikat yang memerlukan individu bankrap untuk maklumkan situasi kewangan mereka kepada majikan.

Sebagai contoh, jika kontrak menuntut pekerja berterus-terang tentang status kebankrapan, pekerja tersebut perlu dedahkan maklumat tersebut kepada majikan. Kewajipan ini bergantung kepada kontrak sedia ada pekerja dengan majikan. 

Kesimpulan 

Kita telah bincangkan faktor yang biasanya menjadi punca mengapa individu menjadi bankrap dan menerangkan pada waktu bila seseorang individu boleh diisytihar bankrap.

Walaupun  perkongsian artikel ini tentang kebankrapan di Malaysia agak mendalam, masih terdapat aspek prosedur kebankrapan yang perlu diketahui lebih lanjut. Namun, artikel ini masih boleh dijadikan panduan untuk proses kebankrapan di Malaysia, daripada pemfailan petisyen kebankrapan (termasuk apa yang berlaku dalam proses ini) sehingga kepada perintah kebankrapan yang dikeluarkan di Mahkamah.

Kesimpulannya, kebankrapan merujuk kepada proses di mana penghutang diisytiharkan bankrap di bawah perintah Mahkamah, melalui petisyen penghutang atau petisyen pemiutang. Semua hartan tidak bercagar individu bankrap akan diserah milik dan ditadbir oleh JMI. Tanggungjawab JMI ialah mencairkan (menjual) aset tersebut. Hasil jualan akan diagihkan antara pemiutang yang telah failkan bukti hutang dan hutang tersebut telah diperakui oleh pihak JIM.

Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.