Hibah Harta – Instrumen Perancangan Harta Dalam Islam

Dalam agama Islam, terdapat prinsip dan panduan yang khusus untuk umat Islam menguruskan kekayaan dan harta. Penting untuk umat Islam yang ingin mematuhi syariat yang ditetapkan dalam Al-Quran, memahami prinsip tersebut. Artikel ini akan mendalami elemen penting dalam salah satu cara perancangan harta dan kewangan dalam Islam yang dikenali sebagai Hibah. 

Prinsip perancangan harta ini tidak hanya sebagai panduan kepada individu, malah ia juga digunakan sebagai cara untuk memastikan keadilan dalam pembahagian harta.

Perbincangan dalam artikel ini akan mengupas elemen dalam Hibah, kepentingannya, dan bagaimana Hibah harta digunakan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Hibah: Maksudnya

Maksud hibah dalam perancangan harta Islam adalah kontrak pemberian secara sukarela yang mengandungi elemen tawaran (ijab) hartanya dan penerimaan (qabul) harta tersebut, ketika pemberi masih hidup. Hibah membuatkan terjalinnya hubungan mulia antara dua pihak: pemberi dan penerima.

Sebagaimana perjanjian Hibah, pemberi dengan rela hati bersetuju untuk memindahkan hakmilik harta kepada penerima. Apa yang membuatkan Hibah berbeza adalah pemberi tidak boleh menerima balasan atau pampasan dari penerima. 

“Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. 

(Surah An-Nisa’: 4)

Menurut pemikir Islam, Tanzil-ur-Rahman maksud hibah adalah “ menjadikan orang lain sebagai pemilik harta tanpa balasan daripada penerima”.

Jadi, Hibah adalah kontrak satu pihak di mana seorang individu, semasa masih hidup, memindah milik harta dengan serta merta dan tanpa balasan kepada pihak yang menerimanya. Secara mudahnya, Hibah adalah hadiah/sumbangan yang diberikan oleh seorang Islam kepada orang lain

Hukum Hibah dalam Islam: Al-Quran dan Hadis 

Sumber berikut membuktikan kesahan dan galakkan untuk membuat Hibah harta dalam Islam:

Surah Al-Baqarah 2:177 

“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” 

Sabda Nabi Muhammad S.A.W 

““Saling berhadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling sayang menyayangi.””.

Surah Al-Maidah 5:2

… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa…

Rukun Hibah

(1) Pemberi

Pemberi mestilah pemilik sah harta yang ingin dihibah, baligh, dan memiliki harta tersebut semasa Hibah dibuat. Pemberi tidak boleh memberi sesuatu yang masih belum jadi miliknya. 

(2) Penerima

Individu yang menerima hadiah/pemberian boleh terdiri dari mana-mana individu, tidak kira umur, jantina, agama dan individu tersebut mesti masih hidup semasa Hibah dibuat. Hibah tidak boleh diberi kepada bayi yang masih belum lahir. 

(3) Harta yang dihibah 

Harta dihibah mesti mempunyai nilai di sisi Syarak. Ia mestilah harta yang halal dan tidak diharamkan di sisi agama Islam contohnya seperti memberi harta yang dicuri atau bahan diharamkan seperti minuman beralkohol. 

(4) Lafaz Hibah (tawaran dan penerimaan) 

Lafaz dalam Hibah menggambarkan niat dan keikhlasan pemberi. Ini kerana pemberi bersetuju untuk memberikan harta atau aset kepada penerima tanpa sebarang balasan. Contoh lafaz Hibah adalah:

“Aku berikan barang ini kepada kamu”, atau “Aku serahkan hak milik harta ini kepada kamu.”

“Sekarang, aku hadiahkan hartaku kepadamu dan kamu telah pun mendapat hadiahku ini, jadi harta tersebut menjadi milik kamu.”

Jenis Hibah 

Jenis Hibah dalam perancangan harta dalam Islam adalah Hibah bersyarat (mu’allaqah) dan Hibah tidak bersyarat (mutlaqah). Kedua-dua jenis Hibah ini menggunakan cara berbeza untuk membahagikan harta dan aset ketika pemberi masih hidup. Ini dapat memastikan hasrat pemberi dapat dipenuhi dan harta pemberi digunakan mengikut hukum Syara’.

Hibah tidak bersyarat 

  • Pemberian yang jelas dan mudah, tanpa sebarang syarat.
  • Proses pindahan hak milik mutlak dan segera, pemberi memindahkan hak milik aset kepada penerima tanpa syarat. 
  • Aset yang diberi menjadi kawalan mutlak penerima, di mana harta tersebut boleh digunakan atau uruskan mengikut kemahuan penerima.
  • Ciri-ciri istimewa Hibah jenis ini adalah dari segi fleksibiliti. Hibah ini digunakan untuk berkongsi kekayaan antara ahli keluarga atau menderma.

Hibah bersyarat 

  • Hibah jenis ini bergantung kepada sesuatu perkara/keadaan yang berlaku pada masa hadapan atau syarat khusus yang dikenakan ke atas penggunaan atau pengurusan harta yang diberi. 
  • Contoh 1: Seorang individu menghadiahkan harta kepada anaknya dengan syarat anak itu berkahwin. 
  • Contoh 2: Seorang individu mewakafkan sebidang tanah kepada masjid dengan syarat ia digunakan untuk tujuan keagamaan dan kebajikan. 
  • Jika syarat ditetapkan oleh pemberi tidak dapat ditunaikan atau gagal dipenuhi oleh penerima, Hibah tidak akan berlaku. 

Siapa yang perlu buat Hibah dalam perancangan harta?

Semua umat Islam boleh menggunakan Hibah dalam pembahagian harta mereka kepada sesiapa yang diinginkan. Hibah sangat disarankan untuk golongan berikut: 

  1. Individu yang tidak mempunyai anak atau waris yang masih hidup. A person with no kids and no surviving legal heirs.
  2. Ibu-bapa yang hanya mempunyai anak perempuan tetapi tiada anak lelaki. 
  3. Ibu-bapa yang mempunyai anak yang berstatus orang kurang upaya.
  4. Individu yang ingin menyerahkan harta mereka kepada pasangan.
  5. Individu yang merancang untuk membahagikan harta secara sama rata kepada waris sah. 

Adakah Hibah harta boleh ditarik balik atau dibatalkan?

Hibah, sama seperti hadiah, boleh ditarik balik atau dibatalkan dalam dua keadaan: 

  1. Sebelum penerima memiliki harta yang dihibah. 
  2. Untuk Hibah bersyarat, Hibah boleh dibatalkan sebelum semua syarat dikenakan pada Hibah belum dipenuhi.

Secara amnya, Hibah boleh dibatalkan sebelum kontrak dipenuhi, Namun, terdapat satu syarat untuk peraturan ini. Hibah yang dibuat oleh ibu-bapa atau datuk-nenek kepada anak/cucu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, melainkan: 

  1. Jika pemilikan aset yang dihibah telah dipindahkan ke pihak ketiga. 
  2. Aset yang dihibahkan tertakluk kepada tuntutan oleh pihak ketiga (seperti bank atau pemiutang).

Kelebihan Hibah 

  • Harta yang diberi secara Hibah akan dikecualikan daripada faraid, dan waris tidak berhak untuk menuntut harta yang diberi sebagai Hibah. 
  • Pembahagian harta faraid mejadi lebih mudah apabila terdapat pengasingan harta secara Hibah. 
  • Pemberi memiliki kawalan yang lebih melalui Hibah di mana aset boleh dibahagikan mengikut keinginan pemberi. Berbeza dengan Faraid, Hibah membolehkan individu untuk memilih mana-mana pihak ketika pemberi masih hidup.
  • Hibah menyediakan cara kepada umat Islam untuk memilih usaha kebajikan yang ingin disokong (melalui sumbangan Hibah). Jadi masyarakat boleh mendapat manfaat dari harta pemberi. 
  • Hibah menggalakkan nilai memberi dan kasih sayang yang dipupuk dalam Islam. Ia boleh menguatkan ikatan ukwah kelaurga dan jalinan muhibah antara pemberi dan penerima. 
  • Hibah berkuatkuasa secara serta-merta dan tidak melibatkan proses yang sukar memandangkan, pemberian Hibah boleh terus berkuat kuasa ketika pemberi masih hidup.

Kesimpulan

Anda dapat memastikan harta dipindah milik dengan lancar dengan merancang dan memilih instrumen yang betul untuk pembahagian harta. Selain itu, potensi untuk berlaku konflik antara waris juga dapat dielakkan.

Perancangan harta membolehkan anda membuat persiapan untuk yang tersayang dan memastikan aset anda diagihkan mengikut keinginan sendiri. 

Anda disarankan untuk mendapatkan nasihat dari professional untuk memastikan harta anda dibahagikan seperti yang anda inginkan. Khidmat nasihat yang ditawarkan oleh peguam berpengalaman dalam perancangan harta pusaka atau penasihat kewangan boleh memberi anda panduan dan keputusan yang diperlukan untuk membuat keputusan mendalam. 

Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.