Satu kaji selidik yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2013 mendapati 1 dari setiap 3 orang wanita di seluruh dunia menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Sejak kebelakangan tahun ini, Selangor merupakan negeri yang paling banyak merekodkan keganasan rumah tangga di Malaysia, iaitu 1,713 kes pada 2021.

Di Malaysia, terdapat beberapa undang-undang yang melindungi mangsa dari keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (“AKRT”) merupakan akta utama. Sebelum DVA dikuatkuasakan, kes-kes keganasan rumah tangga tertakluk di bawah Kanun Keseksaan atau dengan mendapatkan restraining order melalui Mahkamah. Selepas akta ini diperkenalkan, badan penguatkuasaan undang-undang (polis dan pekerja kebajikan sosial) mesti menjalankan siasatan ke atas mana-mana insiden keganasan rumah tangga yang dilaporkan di bawah DVA dan Kanun Keseksaan.

Apa Itu Keganasan Rumah Tangga di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga?

Maksud keganasan rumah tangga, juga dikenali sebagai penderaan dalam rumah tangga, adalah tingkah laku yang melibatkan keganasan atau sebarang bentuk penyalahgunaan oleh pelaku (abuser) terhadap mangsa dalam rumah tangga. Ia merujuk kepada pelbagai jenis tindakan, daripada kata cacian sehinggalah kepada rogol dalam perkahwinan (marital rape) dan pembunuhan. Penderaan ini dilakukan secara privasi dalam hubungan intim, dan biasanya berlaku di dalam rumah.

Di Malaysia, keganasan rumah tangga merupakan kesalahan jenayah yang dinyatakan di dalam AKRT. Antara contoh keganasan rumah tangga adalah: 

  • Cubaan untuk menimbulkan ketakutan atau kecederaan fizikal.
  • Menyebabkan kecederaan pada tubuh badan.
  • Memaksa mangsa melakukan perbuatan berbentuk seksual tanpa kerelaan.
  • Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan.
  • Khianat atau rosakkan harta mangsa untuk membuatkan mangsa bersedih atau gusar.
  • Mendera secara psikologi dan emosi pasangan.
  • Membuatkan mangsa menjadi khayal dengan memaksa penggunaan bahan memabukkan/mengkhayalkan tanpa kerelaan mangsa. 

Seperti senarai di atas, jenis penderaan yang dianggap keganasan rumah tangga tidak terhad kepada fizikal sahaja. Keganasan rumah tangga boleh juga melibatkan penderaan seksual, penderaan emosi, kelakukan mengongkong dan dominan melampau, mengintai (stalking), mengancam dan ekonomi.

Siapakah mangsa keganasan rumah tangga?

Menurut Seksyen 5 AKRT, objektif akta ini adalah untuk melindungi pengadu, kanak-kanak atau orang dewasa yang kurang upaya daripada keganasan rumah tangga. 

AKRT juga memberi perlindungan kepada “pasangan de facto”. Ini merujuk kepada pasangan yang telah melalui istiadat perkahwinan keagamaan atau tradisional mengikut budaya atau adat, tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. Namun, AKRT tidak terpakai untuk pasangan yang tidak berkahwin tetapi tinggal bersama. 

Aduan (Permohonan) Terhadap Keganasan Rumah Tangga 

  1. Aduan keganasan rumah tangga boleh dibuat sama ada ke pegawai polis atau pekerja kebajikan sosial di mana mangsa tinggal ATAU di mana pelaku tinggal ATAU lokasi penderaan tersebut dikatakan berlaku, ATAU di mana lokasi sementara mangsa. 
  2. Seksyen 18A dalam AKRT tersebut menyatakan semua kesalahan melibatkan keganasan rumah tangga merupakan kesalahan yang boleh ditangkap (sizeable). 
  3. Disebabkan keganasan rumah tangga diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh ditangkap, pihak polis boleh menjalankan siasat sebaik sahaja laporan polis diterima. Pihak polis boleh menangkap pelaku tanpa waran tangkap. 
  4. Untuk membantu siasatan, mangsa perlu memberikan butiran dan bagaimana penderaan telah dilakukan pada mereka
  5. Pihak polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan laporan yang telah difailkan. Bukti seperti laporan perubatan dan kenyataan saksi akan diambil. Pihak polis boleh merujuk kes kepada pejabat pendakwaan, bergantung kepada bahan bukti.
  6. Pihak pendakwaan akan menentukan sama ada pelaku akan didakwa atau kes tidak diteruskan.
  7. Jika pelaku didakwa di Mahkamah, perbicaraan jenayah akan dijalankan untuk menentukan sama ada pelaku bersalah terhadap tuduhan keganasan rumah tangga atau sebaliknya. 

Perintah Perlindungan (Protection Order)

Terdapat dua jenis perintah perlindungan di bawah AKRT: perintah perlindungan kecemasan  dan perintah perlindungan interim. 

Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO)

EPO dikeluarkan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengarahkan pelaku menghentikan keganasan rumah tangga terhadap mangsa.

Pindaan dalam AKRT memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk memberi kebenaran secara bertulis kepada pegawai kebajikan untuk mengeluarkan EPO jika pelaku dengan sengaja atau sedar, menyebabkan kecederaan pada tubuh badan mangsa atau cuba membuat mangsa ketakutan terhadap kecederaan fizikal.

Langkah untuk dapatkan EPO 

  1. EPO boleh diperolehi pada bila-bila masa dengan menghubungi Talian Nur (15999), yang beroperasi 24 jam sehari; ATAU  
  2. EPO juga boleh dipohon di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah terdekat.

Setelah menerima permohonan untuk EPO, pegawai jabatan kebajikan akan mengeluarkan EPO dalam masa sekurang-kurangnya 2 jam atau 24 jam dari masa permohonan. Perintah-perintah berikut boleh diberikan ketika EPO dikeluarkan: 

  • Perintah menghalang pelaku dari melakukan keganasan rumah tangga terhadap mangsa; atau
  • Perintah menghalang pelaku dari menghasut orang lain untuk melakukan keganasan rumah tangga terhadap mangsa; atau
  • Perintah menghalang pelaku dari memasuki tempat selamat, perlindungan, kediaman, kediaman yang dikongsi atau kediaman alternatif mangsa. 

Walaupun laporan polis atau petisyen untuk perlindungan dari Mahkamah tidak diperlukan untuk perintah kecemasan, perintah kecemasan hanya sah untuk tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan. Selain itu, perintah ini hanya boleh dikuatkuasakan jika salinan perintah telah diserahkan kepada pelaku. 

Perintah Perlindungan Interim/Sementara (IPO)

IPO merupakan perintah yang dikeluarkan sementara penyiasatan masih dijalankan dan akan berakhir apabila penyiasatan selesai. Selepas IPO luput, pihak mangsa mesti mendapatkan perintah perlindungan IPO di bawah Seksyen 5 Akta tersebut.

Sekiranya Mahkamah mendapati perlindungan dan keselamatan peribadi mangsa dalam keadaan bahaya, Mahkamah boleh mengeluarkan satu atau lebih perintah di bawah Seksyen 6(1) Akta tersebut. 

Perintah tambahan yang boleh dimasukkan adalah: 

  • Mengeluarkan pelaku dari rumah yang dihuni bersama untuk melindungi mangsa.
  • Menghalang pelaku dari memasuki kediaman orang yang dilindungi, termasuk tempat kerja atau sekolah. 
  • Menghalang pelaku dari menghubungi mangsa tanpa kehadiran pegawai penguatkuasa atau orang yang dilantik Mahkamah.
  • Membenarkan pelaku untuk masuk ke kediaman bersama sekiranya pelaku ingin mengambil barang kepunyaannya TETAPI hanya dengan kehadiran pegawai penguatkuasa undang-undang (polis atau pegawai JKM)
  • Mengarahkan pelaku tidak menghubungi mangsa dalam apa juga bentuk komunikasi.
  • Membenarkan mangsa terus menggunakan kenderaan digunakan sebelum ini, semasa atau selepas penderaan berlaku.
  • Mengeluar apa-apa perintah yang Mahkamah fikirkan perlu untuk menguatkuasakan atau berkenaan perintah di atas.

Apakah kesan keganasan rumah tangga di Malaysia kepada wanita? 

Keupayaan untuk menjalinkan dan mengekalkan hubungan yang sihat.

Mangsa yang pernah mengalami keganasan rumah tangga mungkin menghadapi isu kepercayaan dan sukar untuk berkongsi pengalaman dengan orang lain. Situasi ini mungkin membuatkan mereka sukar untuk menjalinkan hubungan intim dan mengekalkan persahabatan.  

Selain daripada kesan psikologi, keganasan rumah tangga juga boleh meninggalkan kesan terhadap fizikal.

Wanita yang pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga mungkin mengalami kecederaan fizikal, kesakitan kronik dan masalah kesihatan yang lain. 

Tiada keyakinan diri dan rasa negatif terhadap diri sendiri 

Mangsa mungkin akan menyalahkan diri sendiri sebagai punca kejadian tersebut dan berasa malu untuk mendapatkan mendapatkan bantuan. Situasi ini boleh menyebabkan satu kitaran yang menyalahkan diri sendiri dan membenarkan penderaan terus berlaku. Akibatnya, mangsa lebih sukar untuk keluar dari kitaran keganasan tersebut. 

Apakah bentuk bantuan untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga di Malaysia? 

Wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga di Malaysia boleh dapatkan bantuan daripada pelbagai sumber bantuan dan sistem sokongan. Salah satu organisasi terkenal yang membantu mangsa keganasan rumah tangga adalah Women’s Aid Organization (WAO). Organisasi ini menawarkan talian talian 24 jam, kaunseling, dan tempat perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga. Organisasi ini juga menawarkan khidmat nasihat guaman dan bantuan untuk mendapatkan perintah perlindungan.

Selain itu, All Women’s Action Society (AWAM) juga menawarkan sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga. Organisasi ini menawarkan khidmat kaunseling, bantuan guaman, dan rujukan kepada organisasi lain yang boleh memberi sokongan tambahan. Ia juga kerap menganjurkan program pendidikan dan kesedaran awam untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran tentang keganasan rumah tangga dan kesannya kepada wanita dan masyarakat. 

Kesimpulan

  1. Di bawah AKRT, mangsa keganasan rumah tangga boleh memohon perintah perlindungan pada bila-bila masa, sama ada melalui sendiri atau peguam.
  2. Perintah perlindungan akan diberikan secara interim dan berkuatkuasa sehingga enam bulan. Perintah ini juga boleh diperbaharui sekiranya diperlukan.
  3. Sebarang perintah perlindungan di bawah AKRT bertujuan untuk melindungi mangsa, kanak-kanak, atau orang dewasa yang kurang upaya daripada dicederakan oleh pelaku.
  4. Pelanggaran terhadap perintah perlindungan merupakan kesalahan jenayah dan boleh dipenjara atau dikenakan denda.
Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.