Pesuruhjaya Sumpah memainkan peranan penting dalam sistem kehakiman di Malaysia. Dianggarkan terdapat kira-kira 4,000 Pesuruhjaya Sumpah berlesen di Malaysia.

Jangan terkeliru antara pesuruhjaya sumpah dengan notari awam, walaupun tugas kedua-dua jawatan tersebut nampak seakan sama. Artikel ini akan menerangkan apa itu Pesuruhjaya Sumpah serta peranannya. Dengan mengetahui perkara tersebut, sudah pasti anda boleh memilih pegawai yang tepat untuk urusan anda.

Siapa itu Pesuruhjaya Sumpah

Pesuruhjaya Sumpah (PJS) merupakan pegawai awam yang dilantik oleh kerajaan Malaysia dan diberi kuasa untuk menguruskan akuan sumpah bagi individu yang membuat pernyataan bersumpah atau afidavit . Tugas pesuruhjaya sumpah begitu penting dalam sistem kehakiman. Ini kerana Pesuruhjaya Sumpah dapat memastikan dokumen undang-undang telah dilaksanakan dan disahkan.

Tugas Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia

Sebagai Pesuruhjaya Sumpah, antara tanggungjawab dan tugas mereka adalah:

(1) Mengendalikan angkat sumpah: Tanggungjawab utama mereka adalah menguruskan sumpah dan perakuan yang dilakukan oleh individu yang membuat pernyataan bersumpah atau afidavit. Pesuruhjaya Sumpah juga perlu pastikan individu tersebut faham isi kandungan dan kesan perakuan yang dibuat secara bersumpah.

(2) Mengesahkan identiti: Pesuruhjaya Sumpah bertanggungjawab untuk mengesahkan identiti individu yang membuat perakuan di pejabat Pesuruhjaya Sumpah/dihadapannya. Ini dapat memastikan identiti individu yang membuat perakuan tersebut adalah individu yang sama dengan identiti pengenalan mereka.

Jika terdapat tanda tangan untuk lebih dari seorang, setiap dokumen perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Satu pihak tidak boleh menandatangani bagi pihak yang lain.

(3) Memastikan ketepatan dan dokumen lengkap: PJS perlu pastikan pernyataan atau afidavit yang dibuat adalah tepat dan lengkap. Ini termasuk membuat semakan terhadap kesilapan pada dokumen dan meminta pembetulan yang perlu dibuat.

Pesuruhjaya Sumpah akan membaca isi kandungan dokumen dan memastikan individu tersebut memahami dokumen yang ditandatangani.

Biasanya akan terdapat terma/perkataan perundangan yang sukar difahami bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang dalam perundangan. Sekiranya berlaku keadaan sebegitu, Pesuruhjaya Sumpah perlu menerangkan bagi memastikan individu tersebut faham akan kesan menandatangani dokumen itu.

(4) Menjaga rekod: Pesuruhjaya Sumpah perlu menjaga rekod sumpah dan perakuan yang diuruskan oleh mereka. Ini termasuk merekodkan nama dan alamat individu tersebut, tarikh dan masa perakuan atau sumpah dibuat, dan jenis dokumen.

Jika seseorang Pesuruhjaya Sumpah itu, dalam masa yang juga merupakan seorang peguam, beliau boleh menjalan beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh Pesuruhjaya Sumpah yang bukan seorang peguam, antaranya adalah:

  • menerima akuterimaan ikat jamin dari perempuan yang bersuami;
  • mengendalikan sumpah untuk situasi seperti justifikasi jaminan, pengakuan, demurrer;
  • mengendalikan sumpah wasi/pentadbir; dan
  • pemeriksaan ke atas saksi, menerima jawapan.

Namun, Pesuruhjaya Sumpah hanya boleh menjadi saksi kepada dokumen jika mereka telah diberi kuasa di bawah peruntukan undang-undang seperti Akta Sewa Beli, Akta Pemberi Pinjam Wang, Ordinan Tanah Sabah, atau Akta Profesion Undang-undang

Perbezaan Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam

Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam merupakan jawatan profesional perundangan yang diberi kuasa untuk mengendalikan sumpah dan perakuan dan mengesahkan dokumen perundangan. Kedua-dua jawatan ini tertakluk kepada etika dan standard profesional dan sekiranya tidak dipatuhi, tindakan disiplin akan dikenakan.

Namun, terdapat perbezaan ketara antara kedua-duanya.

  1. Lantikan – Pesuruhjaya Sumpah dilantik oleh Ketua Hakim Negara. Sementara itu, Notari Awam pula dilantik oleh Menteri Luar Negara.
  2. Caj – Bayaran atau caj yang dikenakan oleh Pesurujaya Sumpah dikawal selia oleh Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993. Bayaran yang dikenakan oleh Notari Awam tidak dikawal selia dan mungkin berbeza bergantung kepada tahap kesukaran dokumen dan perkhidmatan yang diperlukan.

Kedua-dua jawatan ini mungkin nampak sama, namun sebenarnya sangat berbeza. Perbezaan utamanya adalah seseorang Notari Awam hanya boleh mengesahkan dokumen dengan mengesahkan tanda tangan, sumpah dan keperluan lain hanya untuk digunakan di luar negara sahaja. Sementara itu, perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah diperlukan jika sesuatu dokumen digunakan di Malaysia.

Secara ringkasnya, walaupun Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam terlibat dalam pengesahan dokumen perundangan, perbezaan utama antara kedua-duanya boleh dilihat dari segi bidang kuasa, proses pelantikan dan caj bayaran. Jika anda ingin menggunakan perkhidmatan salah satu dari jawatan tersebut, penting untuk anda tahu bidang kuasa dan tugas mereka untuk memastikan pihak yang dicari itu sesuai dengan situasi anda.

Bagaimana Cara Menjadi Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia

(1) Perolehi kelayakan dan sijil yang diperlukan

Untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah, anda perlu dapatkan kelayakan dan sijil yang diperlukan. Ini termasuk ijazah dari universiti yang diiktiraf atau kelayakan profesional yang setara dengan ijazah undang-undang.

(2) Mohon lesen Pesuruhjaya Sumpah

Apabila anda telah dapatkan kelayakan, anda boleh memohon lesen Pesuruhjaya Sumpah. Proses permohonan melibatkan penghantaran borang permohonan dan dokumen sokongan kepada pihak berkuasa yang relevan.

(3) Peluang latihan dan perkembangan profesional untuk Pesuruhjaya Sumpah

Selepas memperolehi lesen Pesuruhjaya Sumpah, penting untuk anda luaskan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan. Peluang untuk latihan dan perkembangan professional tersedia untuk Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia. Antara peluang tersebut adalah menghadiri seminar, bengkel, dan persidangan amalan guaman dan pentadbiran.
Untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah, tidak semestinya perlu menjadi peguam. Namun, terdapat Pesuruhjaya Sumpah yang juga merupakan seorang peguam.
Antara syarat lain untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah adalah:

  1. Berumur antara 21 hingga 66
  2. Memiliki SPM atau ijazah yang sama taraf dengannya
  3. Bukan seorang bankrap
  4. Tidak mempunyai rekod jenayah

Terdapat beberapa juga syarat eksklusif yang perlu dipenuhi untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah. Antaranya adalah:

  1. Seorang peguam yang telah menjalankan amalan sekurangnya tujuh tahun atau lebih
    Penjawat/pegawai awam kerajaan
  2. Pegawai kepada badan yang ditubuhkan melalui statut (berkanun)
  3. Seseorang yang memiliki pengalaman profesional yang lepas, difikirkan layak menjadi Pesuruhjaya Sumpah.

Perkhidmatan dan bayaran

Pesuruhjaya Sumpah menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk mengendalikan sumpah, perakuan, dan akuan berkanun.
Caj atau perkhidmatan bergantung kepada jenis dokumen.

Caj perkhidmatan ini dikawal selia oleh Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.

Jenis dokumen Bayaran (RM)
Salinan asal afidavit 10.00 bagi setiap deponen
Eksibit dalam afidavit 5.00 bagi setiap eksibit
Salinan afidavit 5.00 bagi setiap deponen
Salinan eksibit 2.00 bagi setiap eksibit
Letter of undertaking (aku janji), akuan berkanun dan dokumen perundangan yang lain 10.00 untuk setiap dokumen dan 5.00 untuk salinan seterusnya

Saya perlukan Pesuruhjaya Sumpah – apa yang saya perlu buat?

Ada ketika anda mungkin memerlukan akuan berkanun, afidavit atau dokumen perundangan lain untuk digunakan di mahkamah. Pertama sekali ketahui apa tujuan anda mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Maklumat tersebut dapat membantu anda tentukan jenis dokumen yang perlu dibawa untuk diperakukan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah.

Kemudian, cari Pesuruhjaya Sumpah di kawasan anda. Anda boleh layari laman web Bar Council atau melalui direktori dalam talian. Pastikan Pesuruhjaya Sumpah yang anda pilih mempunyai kuasa untuk memperakui dokumen anda.

  1. Bawa kesemua dokumen asal yang ingin diperakukan serta dokumen sokongan atau bukti identiti yang diperlukan.
  2. Ketika berjumpa dengan Pesuruhjaya Sumpah, beliau akan membuat pengesahan terhadap identiti anda,kemudian menyaksikan anda tanda tangan dokumen tersebut dan akhirnya mengecap cop materai pada dokumen, dan mengesahkan dokumen tersebut telah diperakui mengikut peruntukan undang-undang.
  3. Setelah dokumen dimaterai (cop)/diaku sumpah, pastikan anda simpan dokumen asal dengan cermat dan selamat. Ini kerana dokumen asal mungkin diperlukan untuk tujuan perundangan atau rasmi.

Kesimpulan

Tanggungjawab dan tugas Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia begitu penting bagi memastikan dokumen diperakui dengan sah dan mengikut undang-undang. Tugas yang melibatkan kejujuran dan integriti ini melibatkan pengesahan identiti, saksi tanda tangan dan memeteraikan cop pada dokumen.
Seperti yang kami terangkan sebelum ini, urusan bersama Pesuruhjaya Sumpah melibatkan proses yang cukup teratur. Langkah-langkah seperti memastikan semua dokumen asal dan salinan teratur, pengesahan identiti ketika mengaku sumpah dan memastikan semua dokumen yang telah diperakui dalam keadaan selamat dapat memastikan proses tersebut berjalan lancar dan sempurna.

Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.