Pemahaman terhadap undang-undang hak cipta (copyright) begitu penting dalam dunia yang semakin ke arah serba digital. Situasi ini sememangnya benar terutamanya di Malaysia, di mana industri kreatif dilihat semakin berkembang. Artikel ini mendalami asas undang-undang hak cipta di Malaysia, iaitu hak-hak di bawah undang-undang ini, jenis perlindungan untuk pemegang hak cipta terpelihara serta cara menguatkuasakan hak tersebut di sisi undang-undang.
Maksud Hak Cipta dan Contoh
Undang-undang hak cipta adalah satu cabang dalam undang-undang harta intelek (IP) yang melindungi karya pengkarya/pencipta. Antara contoh harta intelek yang tertakluk dalam skop perlindungan adalah buku, lagu, lukisan, arca, filem, program komputer, pangkalan data, iklan, peta dan juga lukisan teknikal.
Dengan adanya undang-undang hak cipta, pemilik harta intelek atau pencipta dapat mengawal penyebaran, adaptasi dan juga penerbitan semula hasil karya mereka. Ia membantu pencipta mengawal bagaimana karya mereka digunakan dan disebarkan seterusnya memberi manfaat kewangan dan melindungi IP mereka.
Akta Hak Cipta 1987
Di Malaysia, hak cipta dikawal selia oleh Akta Hak Cipta 1987 (“Akta tersebut”). Ia merupakan undang-undang utama yang mengawal perlindungan hak cipta di Malaysia. Akta tersebut menerangkan hak dan kewajipan pencipta dan pemegang hak cipta termasuk remedi yang ada sekiranya pelanggaran hak cipta berlaku.
Akta ini digubal berdasarkan piawaian hak cipta antarabangsa, termasuk Konvensyen Berne untuk Perlindungan Karya dan Kerja Artistik. Ini dapat memastikan akta tersebut selari dengan piawaian global dan menyediakan perlindungan yang sama dengan di negara lain.
Hak Pemegang Hak Cipta di Malaysia
Hak ekonomi
Dalam konteks hak cipta, hak ekonomi hanya berkenaan eksploitasi komersial bagi karya yang dilindungi. Untuk memastikan pemegang hak cipta yang sah dibayar secukupnya untuk hasil kerja mereka, undang-undang memberi mereka hak untuk menyaman sesiapa sahaja yang mendapat keuntungan daripada hasil karya pemegang hak, secara tanpa kebenaran.
Hak ekonomi dinyatakan di bawah Seksyen 13(1) akta tersebut. Hak ekonomi adalah termasuk hak:
- Untuk menghasilkan semula karya.
- Untuk mengedarkan karya kepada orang ramai, pertunjukan atau persembahan secara terbuka.
- Untuk karya terbitan berdasarkan karya asal.
Contoh: Jika seorang pencipta lagu memegang hak cipta terhadap sebuah lagu, beliau mempunyai hak eksklusif untuk menghasilkan semula dan mengagihkan salinan lagu tersebut sama ada dalam bentuk fizikal atau digital.
- Kawal pengeluaran dan penjualan CD, muat turun digital atau penstriman muzik
- Berikan lesen kepada pihak lain, seperti label muzik atau platform penstriman, mengedarkan lagu dengan bayaran royalti atau pampasan kewangan lain.
Selain daripada karya muzik, hak ekonomi juga terpakai untuk karya kreatif lain seperti buku, filem, karya seni, perisian dan reka bentuk seni bina. Penulis boleh mengawal penghasilan semula dan pengedaran buku mereka; pengusaha filem boleh mengawal tayangan dan pengedaran filem mereka; dan jurutera perisian boleh mengawal perlesenan dan pengedaran persian yang mereka bina.
Melalui hak ekonomi ini, pengkarya boleh monetize dan menjana pendapatan daripada karya mereka, selain daripada mengawal penggunaanya.
Hak moral
Di Malaysia, hak moral diperakui dan dilindungi di bawah Akta tersebut. Terdapat empat (4) hak moral yang khusus untuk pemegang hak cipta:
- Hak untuk dikenali sebagai pengkarya atau pencipta karya.
- Hak untuk membantah sebarang penyelewengan, pencacatan atau pengubahsuaian ke atas karya, yang boleh menjejaskan nama baik dan reputasi pencipta.
- Hak untuk membantah karya yang dikatakan dihasilkan daripada karya asli (atribusi yang salah) itu.
- Hak menghalang hasil karya daripada digunakan dalam cara yang boleh memprejudis kehormatan dan reputasi pencipta.
Mengapa hak moral perlu dilindungi?
- Untuk melindungi kepentingan reputasi dan peribadi pencipta.
- Untuk memastikan pencipta diiktiraf sebagai pencipta hasil karya dan karya pencipta tersebut diubahsuai tanpa kebenaran.
- Untuk melindungi integriti dan martabat karya.
- Sebagai cara untuk pencipta untuk diiktiraf dan dikreditkan untuk karya yang dihasilkan, seterusnya melindungi status profesional dan membuka peluang pada masa hadapan.
Hak moral di bawah Sekyen 25 Akta Hak Cipta 1987
Hak moral di Seksyen 25 terbahagi kepada dua kategori:
- Hak atribusi dan berkaitan; dan
- Hak integriti.
Hak atribusi
Hak atribusi (attribution rights) merujuk kepada hak pengkarya untuk dikenali umum sebagai pencipta karya tersebut. Selain itu, hak ini membolehkan nama pencipta disertakan dalam sebarang kredit penghasilan dan mengaitkan nama pencipta dengan karya yang diterbitkan untuk orang ramai.
(contohnya, kredit dalam filem, tanda tangan artis pada sesebuah lukisan ataupun nama penulis untuk hasil karya sastera.)
Selain itu, Seksyen 13(2) menyatakan apabila sesebuah karya dirujuk, diterbitkan semula oleh akhbar, disiarkan atau dipertunjukkan kepada umum, sumber dan pengarang karya mesti diberikan pengiktirafan secukupnya. Bagi permohonan di bawah Seksyen 31 untuk lesen yang diwajibkan ke atas hak terjemahan, pemohon mesti sertakan tajuk asal dan nama pencipta pada semua salinan bercetak karya yang telah diterjemah. Hak atribusi juga membenarkan pencipta dikenali secara tanpa nama (anonymous) sekiranya mereka mahu.
Hak integriti
Hak integriti di bawah Seksyen 25(2) merujuk kepada keupayaan pengkarya untuk mengelakkan karya mereka daripada diseleweng atau dicacatkan dan mempertahankan maksud asal karya tersebut. Melalui hak ini, penulis boleh menghalang karya mereka diplagiat dan diterbitkan tanpa kebenaran di tempat lain.
Perlindungan Hak Cipta Terpelihara Adalah Secara Automatik
Perlindungan undang-undang peringkat awal bagi harta intelek selain hak cipta, seperti paten, tanda dagangan dan rahsia perdagangan, diselia oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Perlindungan diberikan sebaik sahaja permohonan diluluskan dan didaftarkan. Namun perlindungan hak cipta diberi secara automatik kepada pencipta apabila hasil karya asli dihasilkan.
Ini bermakna pendaftaran tidak diperlukan bagi melindungi hak cipta terpelihara. Sebaik sahaja karya dicipta, Seksyen 10 memberi perlindungan secara automatik.
Walaupun tidak diperlukan untuk perlindungan hak milik, pendaftaran karya sangat disarankan kerana:
- Sebagai bukti tambahan untuk hak milik dan sangat membantu jika melibatkan pertikaian undang-undang.
- Rekod awam untuk pemilikan hak cipta dan boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah jika ada pihak yang melanggar hak cipta anda.
Apakah Remedi di bawah Undang-undang Jika Hak Cipta Dilanggar & Menyebabkan kerugian?
Jika anda rasakan hasil karya anda telah disalahgunakan di Malaysia, terdapat beberapa remedi yang tersedia di bawah undang-undang sivil dan jenayah bagi melindungi IP dan pampasan untuk kerugian wang yang ditanggung.
Tindakan di bawah undang-undang jenayah lebih mudah untuk diambil terhadap pelanggaran hak milik. Anda boleh failkan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, untuk membolehkan kementerian tersebut menggeledah dan merampas material berkenaan.
Sekiranya karya asal digunakan dalam cara yang boleh merosakkan nama baik dan reputasi pencipta, beliau boleh menuntut pelanggaran hak moral dengan memfailkan tuntutan sivil di mahkamah di Malaysia.
Penggeledahan & Rampasan di bawah Undang-undang Jenayah
Seperti yang dinyatakan dalam bahagian VII Akta tersebut, pegawai yang dilantik mempunyai kuasa yang meluas untuk menyiasat dan merampas material yang melanggar hak milik. Selain itu pegawai tersebut dibenarkan menggeledah individu yang disyaki melanggar undang-undang hak cipta. Jika terdapat sebab kukuh untuk mempercayai bahawa seseorang mempunyai salinan karya digunakan tanpa kebenaran, individu itu dianggap memiliki salinan yang melanggar hak cipta.
Seksyen 44, memberi kuasa kepada pegawai untuk menjalankan penggeledahan dan penyitaan. Dalam kes Kerajaan Malaysia & Ors vs Then See Nyuk & Ors, Mahkamah Rayuan memutuskan ganti rugi tidak boleh diminta daripada pihak berkuasa yang menjalankan geledah dan sitaan di bawah Akta tersebut, walaupun tiada pendakwaan jenayah dibuat di Mahkamah selepas material disita.
Ganti Rugi dalam Undang-Undang Sivil
Pengkarya atau pemegang hak cipta boleh memfailkan saman di bawah Seksyen 25 sekiranya mana-mana perkara berikut berlaku:
- Penggunaan atau penghasilan semula karya yang dilindungi seperti meniru, menyebarkan, mempersembahkan atau mempamerkan hasil karya tersebut tanpa kebenaran.
- Memiliki salinan karya yang melanggar hak pemilik hak cipta.
Sekiranya pencipta telah meninggal dunia, wakil kepada harta pusaka boleh meneruskan tindakan sivil di bawah seksyen ini.
Apa yang Boleh Dikembalikan Semula Melalui Undang-undang?
Remedi ganti rugi tidak hanya setakat kerugian kewangan, ia juga boleh merangkumi ‘ganti rugi teruk’ (aggravated damages) terhadap maruah pencipta yang terjejas, perasaan dan apa-apa perkara tidak dapat dilihat mata kasar yang berpunca daripada pelanggaran hak cipta.
Mahkamah cenderung untuk membenarkan ganti rugi teruk dalam kes yang melibatkan pelanggaran hak moral. Ini kerana, aspek yang terjejas lebih dari sekadar kerugian wang ringgit, ia melibatkan perasaan dan mental. Selain itu, agak sukar untuk membuktikan kerugian sebenar (kewangan), terutamanya jika hasil karya tersebut telah terjual. Remedi di bawah Seksyen 25 lebih bersifat sagu hati berbanding pampasan.
Selain daripada ganti rugi, mahkamah juga boleh memerintahkan pihak yang melanggar hak cipta untuk menerbitkan sebarang pengubahsuaian yang sesuai atau -perintah injunksi untuk menghentikan pengedaran atau penjualan karya yang diciplak tersebut.
Kesimpulan
Karya kreatif berkait rapat dengan identiti dan cara pemikiran pencipta. Undang-undang dirangka untuk melindungi pencipta lebih daripada hak ekonomi. Perlindungan hak moral dilihat dapat memberi pencipta cara mengawal hasil karya mereka, tanpa kira siapa yang memilikinya pada masa itu. Ia melindungi reputasi pencipta dan hak untuk pencipta dikaitkan dengan hasil karya mereka.
- Mendaftar hak cipta anda boleh memberi perlindungan tambahan dan menguatkan status anda sebagai pemilik hak cipta yang sah.
- Sekiranya pelanggaran hak cipta yang mengakibatkan kemudaratan atau kerugian wang, anda perlu pertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah dengan menggunakan khidmat peguam yang mempunyai kepakaran dalam IP.
- Untuk membantu kes anda, kumpulkan semua bukti pelanggaran hak cipta, seperti salinan karya asal anda dan sebarang bentuk komunikasi atau dokumentasi yang relevan yang boleh membuktikan hak milik anda.