Anda sedang pertimbangkan untuk berhenti kerja tanpa notis untuk pekerjaan anda sekarang? Adakah terdapat pekerja di syarikat anda yang berhenti kerja tanpa notis? Artikel ini akan membincangkan topik tersebut dan kesan dari sudut undang-undang.
Pada satu ketika dalam karier anda, mungkin anda pertimbangkan untuk tukar atau berhenti kerja atas sebarang alasan. Untuk berhenti dari pekerjaan anda sekarang, ada kemungkinan boleh membuatkan anda tertekan dan memerlukan keberanian untuk melakukannya. Isu yang timbul untuk situasi tersebut adalah sama ada anda, sebagai seorang pekerja, boleh berhenti kerja sesuka hati. Adakah anda boleh berhenti kerja 24 jam atau secara mengejut? Secara praktikalnya, cara yang terbaik adalah dengan memaklumkan kepada majikan apabila ingin berhenti kerja. Untuk melakukannya, anda perlu tahu apa itu tempoh notis dan bagaimana notis tersebut boleh memberi kesan kepada kontrak pekerjaan anda.
Tempoh notis merujuk kepada tempoh masa yang anda perlu beri kepada majikan sebelum berhenti kerja dan masa yang diberikan kepada majikan untuk mencari pengganti. Tempoh notis ini dianggap sebagai hari terakhir anda bekerja.
Adakah pekerja perlu beri notis berhenti kerja?
Jawapan mudahnya, YA. Apabila seseorang pekerja ingin meletakkan jawatan yang dipegang sekarang, individu tersebut perlu memberi notis, sebagai contoh surat berhenti kerja, terlebih dahulu kepada majikan. Ini merupakan cara terbaik dan paling praktikal untuk berhenti kerja dan memberi notis yang munasabah kepada majikan.
Sejak dari 1 Januari 2023, Akta Kerja (“EA”) terpakai untuk semua pekerja (“mana-mana pekerja yang memasuki kontrak perkhidmatan”), kecuali untuk seksyen berkenaan bayaran untuk kerja lebih masa dan manfaat pemberhentian. Kedua-dua perkara tersebut tidak terpakai untuk pekerja bergaji bulanan melebihi RM4,000.
Menurut Seksyen 12(1) dalam Akta Kerja, majikan atau pekerja boleh menamatkan kontrak pekerjaan dengan memberikan notis kepada pihak yang satu lagi.
“Mana-mana pihak kepada kontrak perkhidmatan, pada bila-bila masa boleh memberi notis kepada pihak yang satu lagi, berkenaan niat untuk menamatkan kontrak perkhidmatan tersebut”.
Secara tradisinya, tempoh masa untuk notis ditentukan oleh klausa yang terdapat dalam kontrak pekerjaan. Ia merupakan salah satu daripada perkara asas dalam kontrak pekerjaan. Jika tempoh masa tidak dinyatakan dengan jelas atau langsung tidak disebut, subseksyen 2 dalam seksyen 12 akan terpakai iaitu tempoh masa notis akan ditentukan oleh berapa lama anda telah bekerja di organisasi tersebut.
- Tempoh notis adalah Empat minggu jika anda telah bekerja kurang dari dua (2) tahun;
- Tempoh notis adalah Enam minggu jika anda telah bekerja selama dua (2) tahun atau lebih tetapi kurang dari lima (5) tahun; atau
- Tempoh notis adalah Lapan minggu jika anda telah bekerja selama lima (5) tahun atau lebih.
Kelebihan Berhenti Kerja dengan Notis
- Notis berhenti kerja yang dikarang/ditulis setelah dipertimbangkan sepenuhnya menunjukkan etika profesionalisme dan memberi tanggapan positif daripada majikan.
- Notis/surat berhenti kerja memudahkan proses berhenti kerja, jadi sebarang tugasan dan tanggungjawab sedia ada dapat diagihkan dengan lebih lancar.
- Jika anda memaklumkan dengan jelas secara bertulis bila anda ingin berhenti kerja, majikan anda mempunyai masa yang secukupnya untuk mencari pengganti.
Kesan berhenti kerja tanpa notis atau tidak berupaya memberi notis
Pada kebiasaannya, anda perlu atau akan diminta untuk memberi notis apabila ingin berhenti kerja. Dari sudut profesional, anda perlu memberi notis yang munasabah dan menuruti terma kontrak yang anda telah setuju ketika mula bekerja di syarikat tersebut. Amalan ini secara tradisinya telah menjadi sebahagian daripada kebanyakan kontrak pekerjaan di Malaysia.
Namun, kadang-kala, seseorang itu tidak dapat dapat terus bekerja sepertimana tempoh notis. Jadi, berhenti kerja tanpa notis mungkin menjadi pilihan terbaik. Antara keadaan (tidak hanya terhad kepada alasan disenaraikan) di mana pekerja berhenti tanpa notis, adalah:
- Mendapat kerja untuk jawatan yang lebih besar dan gaji yang lebih tinggi
- Berpindah ke bandar atau negara lain
- Berhenti kerja disebabkan masalah dengan majikan atau rakan sepejabat
- Kembali semula ke institusi pengajian
- Masalah kesihatan
- Isu peribadi yang lain
Sekiranya seseorang pekerja memilih untuk tidak memberi notis disebabkan oleh alasan-alasan yang dinyatakan di atas (atau sebab-sebab yang lain), beliau boleh lakukan sebegitu berdasarkan Seksyen 13(1) dalam Akta Kerja.
“Mana-mana pihak kepada suatu kontrak perkhidmatan boleh menamatkan kontrak perkidmatan tersebut tanpa notis atau jika notis telah pun diberikan menurut Seksyen 12, tanpa menunggu notis itu berakhir, dengan membayar kepada pihak yang lain suatu indemniti sejumlah wang yang sama dengan jumlah upah yang sepatutnya terakru kepada pekerja dalam tempoh notis tersebut atau semasa notis tersebut yang belum tamat..”
Berdasarkan peruntukan di atas, dapat disimpulkan bahawa:
- Sebagai seorang pekerja, pekerja tersebut boleh menamatkan kontrak dan berhenti kerja tanpa perlu memberi notis kepada majikan.
- Jika pekerja berhenti kerja melalui cara begini (berhenti kerja tanpa notis), majikan berhak mendapat pampasan.
- Pampasan tersebut adalah sama dengan gaji yang akan diterima oleh pekerja tersebut dalam tempoh notis.
NOTIS IN LIEU
Notis in lieu (ganti) merujuk kepada situasi di mana pekerja yang ingin berhenti kerja tidak perlu mematuhi tempoh masa dalam notis. Pekerja tersebut tidak perlu memberi notis dengan membayar jumlah tertentu kepada majikan. Dalam kata lain, berdasarkan Seksyen 13, pekerja perlu membayar jumlah yang sama dengan gaji yang akan diterima oleh pekerja tersebut untuk tempoh masa dalam notis jika ingin berhenti kerja serta-merta dan berkuat kuasa.
Pampasan atau bayaran untuk notis in lieu bertujuan untuk melindungi perniagaan daripada mengalami kerugian yang berpunca dari tindakan pekerja yang berhenti secara serta-merta tanpa notis yang teratur. Daripada perspektif pekerja, notis ini membolehkan mereka membuat persediaan untuk jawatan baru tanpa perlu terus bekerja dalam tempoh notis.
Untuk jadikan bayaran notis in lieu terpakai, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi. Ia perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak majikan dan pekerja atau dinyatakan dalam kontrak pekerjaan. Jika seseorang pekerja itu telah memberi notis tetapi berhenti kerja awal dari tempoh notis berakhir, bayaran notis in lieu (gaji ganti notis) akan terpakai. Jumlah yang perlu dibayar bersamaan dengan gaji per hari bagi setiap hari dalam tempoh notis tersebut.
Illustrasi untuk Seksyen 13:
Kontrak pekerjaan Pekerja “A” menyatakan beliau boleh berhenti kerja dengan memberi notis dua bulan atau membayar secara in lieu untuk notis tersebut. “A” kemudian memberi notis berhenti kerja pada 30 Jun 2022. Menurut kontrak, Pekerja “A”, perlu terus bekerja sepertimana tempoh notis sehingga 30 Ogos 2022. Namun, dalam surat berhenti kerjanya, Pekerja “A” menyatakan perletakkan jawatannya berkuat-kuasa serta merta dan Pekerja “A” tidak hadir bekerja selepas memberi notis.
Gaji terakhir Pekerja “A” adalah sebanyak RM5,000. Memandangkan Pekerja “A” gagal untuk terus bekerja selama dua bulan sepertimana yang dinyatakan dalam kontrak, Pekerja “A” perlu membayar kepada majikannya sebagai in lieu (ganti) notis tersebut. Jadi, majikan “A” berhak menerima pampasan bernilai RM15,000 daripada Pekerja “A”.
Berhenti kerja disebabkan pelanggaran kontrak dengan sengaja
Seksyen 13(2):
“mana-mana pihak kepada satu kontrak perkhidmatan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tersebut tanpa notis sekiranya terdapat pelanggaran dengan sengaja oleh pihak yang satu lagi berkenaan terma dalam kontrak perkhidmatan tersebut.”
Berdasarkan peruntukan di atas, seseorang pekerja boleh menamatkan perkhidmatan/pekerjaan tanpa notis jika pihak majikan telah melanggar kontrak dengan suka rela/sengaja, seperti:
- Gagal membayar gaji: ATAU
- Memaksa pekerja melakukan kerja yang membahayakan diri pekerja di mana pendedahan kepada risiko atau bahaya kerja tersebut tidak termasuk dalam skop pekerjaan.
Untuk kes sebegini, pihak pekerja boleh pertimbangkan pilihan jika situasi tersebut boleh dikategorikan sebagai constructive dismissal (pemecatan terancang).
Bagaimana cara majikan dapatkan ganti rugi untuk notis in lieu?
Mungkin terdapat pekerja yang enggan membayar ganti rugi sebagai notis in leau yang menjadi hak majikan. Sebarang tuntutan majikan terhadap pekerja berkenaan ganti rugi yang perlu dibayar pekerja di bawah subseksyen 13(1) boleh dibuat dan ditentukan oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja menurut Seksyen 69(2)(iii) dalam Akta Kerja.
Jika seseorang pekerja gagal memberi notis/surat berhenti kerja dan membayar pampasan/ganti rugi kepada majikan, pihak majikan boleh membuat tuntutan ganti rugi di Mahkamah Buruh. Jadi, untuk mengelakkan kos yang lebih tinggi, pekerja perlu mematuhi terma dalam kontrak pekerjaan dan peruntukan dalam Akta Kerja. Sebagai seorang pekerja, anda tidak seharusnya melanggar terma dalam kontrak pekerjaan anda.
Kesimpulan
Tujuan tempoh notis diberi kepada majikan adalah untuk mengurangkan sebarang kerugian yang berpunca daripada tindakan pekerja untuk berhenti. Sebagai contoh, pihak syarikat mungkin ingin pastikan pekerja yang akan berhenti untuk selesaikan mana-mana tugasan yang masih belum selesai dan membantu proses agihan kerja. Namun, pihak syarikat juga berhak mendapat pampasan dalam bentuk wang ringgit jika pekerja berhenti tanpa notis. Pihak majikan juga berhak dari segi undang-undang untuk menegaskan pekerja yang akan berhenti kerja tersebut memenuhi kewajipan kontrak mereka.
Peruntukan undang-undang dalam Akta Kerja bertujuan untuk membetulkan keadaan di mana kerugian yang mungkin berlaku disebabkan oleh kekosongan jawatan yang tidak dijangka apabila seseorang pekerja berhenti kerja secara mengejut. Pematuhan terhadap tempoh notis mencerminkan profesionalime seseorang. Namun, jika anda berada dalam keadaan yang membuatkan anda terpaksa berhenti kerja tanpa notis, seperti yang dibincangkan sebelum ini, seksyen 13, boleh membantu anda. Jadi, Ya, anda boleh berhenti kerja tanpa perlu memberi notis. Namun, tindakan sebegitu mungkin akan membuatkan anda rugi dari segi kewangan.