Perjanjian pemegang saham merupakan kontrak yang mengikat pemegang saham dalam sesebuah syarikat. Perjanjian ini mengawal selia hubungan antara pemegang saham, menetapkan bagaimana syarikat dikendalikan dan menyenaraikan hak dan kewajipan pemegang saham. Perjanjian pemegang saham menyediakan aspek keselamatan dan perlindungan sekiranya terdapat masalah antara pemegang saham.

Kami kongsikan 10 sebab mengapa perniagaan anda perlukan perjanjian pemegang saham:

1.Menyelesaikan pertikaian melalui perjanjian pemegang saham

Apabila pertikaian berlaku, perjanjian pemegang saham yang dirangka dengan baik boleh menjadi prosedur penyelesaian pertikaian untuk melindungi operasi syarikat. Perjanjian pemegang saham ini dapat mengurangkan masalah serta risiko perselisihan faham dan konflik pada masa akan datang. Ia juga dapat mengelakkan pertikaian berlarutan, melalui peruntukan dalam perjanjian yang mungkin dapat menjelaskan salah faham yang berlaku.

2. Perlindungan kepada pemegang saham minoriti

Perjanjian pemegang saham dapat melindungi pemegang saham dengan menyatakan keputusan tertentu hanya boleh dibuat melalui persetujuan sebulat suara semua pemegang saham. Sebagai contoh, perkara yang memerlukan persetujuan pemegang saham minoriti berkaitan jual beli saham yang dimiliki oleh pemegang saham majoriti.

3. Pemegang saham majoriti turut dilindungi

Perjanjian pemegang boleh mengandungi drag-along clause. Melalui klausa ini, pemegang saham majoriti boleh memaksa pemegang saham minoriti untuk menerima menerima tawaran pihak luar untuk pembelian semua saham.

4. Untuk mengawal selia pengurusan syarikat

Urusan harian syarikat selalunya diserahkan kepada lembaga pengarah. Namun, pemegang saham mungkin berpendapat keputusan tertentu hanya boleh dibuat mengikut budi bicara pengarah dan bukannya memerlukan kelulusan pemegang saham. Situasi ini biasanya berlaku jika lembaga pengarah bukan pemegang saham. Oleh itu, perjanjian pemegang saham mungkin menyatakan cara yang lebih jelas dan konsisten berkenaan pengurusan operasi harian perniagaan.

Selain itu, peranan dan kewajipan pemegang saham juga ada dinyatakan dalam perjanjian. Jadi, hak dan kuasa pemegang saham lebih jelas dan sejauh mana komitmen mereka diperlukan dalam syarikat.

5. Persediaan sekiranya berlaku konflik antara pemegang saham

Tiada siapa yang dapat menjangkakan masalah ketika syarikat mula ditubuhkan. Namun, jika terdapat konflik antara pemegang saham berlaku, agak sukar untuk mencari penyelesaian atau jalan keluar. Perancangan tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya keadaan tersebut berlaku merupakan langkah yang bijak, berbanding menunggu situasi menjadi lebih buruk.

6. Kestabilan dan kematangan syarikat

Syarikat yang memiliki perjanjian pemegang saham menggambarkan kestabilan perniagaan tersebut. Selain itu, ia juga menunjukkan pemegang saham syarikat berfikiran jauh dengan memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara baik dan cepat.

Pihak-pihak luar seperti bank, kreditor dan pelabur prospek biasanya akan melihat perjanjian pemegang saham sebelum melabur dalam sesebuah syarikat. Secara tipikalnya, pelabur tidak akan berminat melabur dalam syarikat yang tidak memiliki struktur pemilikan yang teratur. Ini kerana syarikat tersebut tidak menyediakan cara yang jelas kepada pelabur mendapatkan pulangan pelaburan melalui dividen dan saluran lain.

Pelabur juga akan menyemak latar belakang syarikat tersebut sebelum melabur dana, dan membuat keputusan pelaburan yang boleh memberi pulangan jangka pendek dan panjang.

7. Menghalang pemegang saham menjadi pesaing

Jika seseorang pemegang saham ingin meninggalkan syarikat tersebut, pemegang sahaja sedia ada mungkin mahu menyekat individu tersebut untuk menubuhkan perniagaan yang sama atau sebagai pesaing. Klausa sekatan dapat mengehadkan keupayaan pemegang saham yang ingin meninggalkan syarikat, menjadi pesaing dengan menjalankan perniagaan yang bersaing dengan syarikat lama. Klausa ini juga dapat menghalang pemegang saham tersebut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan syarikat lama atau berurusan bersama pembekal syarikat lama.

Perjanjian pemegang saham juga boleh memasukkan sekatan kerahsiaan untuk melindungi maklumat berharga atau rahsia perniagaan yang untuk perniagaan syarikat. Melalui cara ini, pemegang saham mempunyai kewajipan untuk melindungi maklumat tersebut semasa masih atau tidak lagi menjadi pemegang saham.

8.Pegangan saham yang berkait dengan pekerjaan

Perjanjian pemegang saham mengandungi situasi pegangan saham seseorang dalam syarikat, terikat dengan pekerjaannya di syarikat tersebut. Apabila pemegang saham ingin tidak lagi bekerja di syarikat tersebut, beliau mesti menjual kembali saham yang dipegang. Jika tidak, pemegang saham yang tidak lagi bekerja di syarikat itu akan terus memegang saham dan menerima menfaat hasil daripada usaha keras mereka yang masih bekerja di syarikat tersebut.

9. Mengelakkan kebuntuan dalam perniagaan

Keputusan pemegang saham dibuat melalui undian. Biasanya undi majoriti diperlukan sebelum sebarang keputusan. Ada ketika, majoriti 75% diperlukan atau mungkin secara sebulat suara (unanimous). Kebentuan boleh berlaku apabila pemegang saham tidak dapat mencapai keputusan.

Sebelum menubuhkan syarikat, perjanjian pemegang saham perlu dirangka sebagai cara terbaik mengelakkan kebuntuan. Perjanjian pemegang saham yang dirangka dengan baik dapat menyuntik memberi keyakinan kepada pemegang saham dan pelabur bahawa operasi perniagaan dikendalikan dengan cekap. Selain itu, perjanjian tersebut juga perlu mengandungi klausa “dead lock”. Tujuannya adalah menyelesaikan pertikaikan dengan menyediakan cara penyelesaian yang perlu digunakan apabila situasi tersebut berlaku.

10. Mengawal pindahan saham

Jika seseorang pemegang saham berniat memindahkan dan menjual saham, Pemegang saham yang lain mempunyai “pre-emptive rights”. Perjanjian pemegang saham boleh hak pertama menolak saham. Ini bermaksud, jualan saham tersebut perlu ditawarkan terlebih dahulu pada pemegang saham sedia ada sebelum ditawarkan kepada pihak lain. Selain itu, perjanjian pemegang saham juga boleh memberi kuasa right of first refusal. Sekiranya ada pemegang saham yang ingin menjual pegangan saham mereka,  pemegang saham sedia ada boleh membuat tawaran yang sama/sepadan dan diberi keutamaan berbanding pihak luar.

Walaupun perjanjian pemegang saham bukan dokumen wajib di Malaysia, setiap syarikat dinasihatkan untuk memilikinya bagi memastikan perniagaan berjalan lancar dan tanggungjawab semua pemegang saham dinyatakan dengan jelas. Perjanjian ini tidak hanya menjamin kejelasan dan kepastian terhadap apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, malah ia juga mengurangkan potensi berlakunya konflik antara pemegang saham serta kerugian yang ditanggung daripada konflik tersebut.

Perjanjian pemegang saham perlu dirangka dengan teliti  dan lengkap supaya semua pihak dapat memahami struktur dan hubungan mereka dengan syarikat dan juga antara satu sama lain.

Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.