Maksud Perjanjian Perkongsian

Perjanjian Perkongsian merupakan suatu kontrak bertulis yang mengandungi persefahaman antara dua pihak atau lebih, yang ingin menjalankan urusan/perniagaan bersama. Artikel ini akan membincangkan tentang tujuan perniagaan, sumbangan kewangan setiap rakan kongsi, perkongsian keuntungan, peranan, tanggungjawab, proses membuat keputusan, penyelesaian pertikaian dan juga strategi keluar dari perkongsian.

“Perjanjian Perkongsian digunakan sebagai panduan yang boleh mendorong kepada sebuah usaha sama perniagaan yang berjaya. Perjanjian menyediakan sesuatu yang lebih jelas, mentakrifkan tanggungjawab serta mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan usaha sama ini.”

Perjanjian Perkongsian boleh menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan pemilik startup (syarikat pemula) di Malaysia. Namun, semua aspek penting perlu dipertimbangkan dan didokumenkan dengan jelas. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam Perjanjian Perkongsian untuk membantu perniagaan anda berkembang maju dalam dunia perniagaan di Malaysia.

Perjanjian Perkongsian Di Malaysia

Di Malaysia, Perjanjian Perkongsian diselia oleh Akta Perkongsian 1961. Akta ini menyatakan suatu perkongsian boleh dibentuk oleh dua orang atau lebih, yang bersetuju menjalankan urusan bersama bertujuan untuk mendapat keuntungan. Harus diingat, perjanjian tersebut tidak semestinya dalam bentuk bertulis. Ia juga boleh dalam bentuk lisan, malah secara tersirat daripada tingkah laku pihak-pihak terlibat.

Kepentingan Perjanjian Perkongsian Perniagaan Bertulis

Walaupun dalam undang-undang di Malaysia, Perjanjian Perkongsian tidak perlu dibuat secara bertulis, namun anda sangat disarankan untuk menyediakan perjanjian tersebut dalam bentuk bertulis. Ini kerana perjanjian bertulis akan menyatakan dengan jelas perkara seperti hak-hak, tanggungjawab dan kewajipan setiap rakan kongsi. Ini dapat mengelakkan kemungkinan berlaku pertikaian di kemudian hari. Selain itu, pihak-pihak dalam perkongsian perlu merangka Perjanjian Perkongsian yang konklusif dan komprehensif di sebabkan perkara berikut:

Operasi perniagaan lebih lancar

Perjanjian Perkongsian merupakan dokumen asas yang mengawal selia perkongsian dalam perniagaan. Perjanjian ini penting kerana ia menerangkan terma dan syarat perkongsian tersebut. Setiap peranan dan tanggungjawab rakan kongsi dinyatakan dalam perjanjian itu. Maklumat yang jelas dapat mengelakkan salah faham dan konflik, dan operasi perniagaan berjalan lebih lancar.

Rangka perundangan dan penyelesaian pertikaian

Dari perspektif perundangan, Perjanjian Perkongsian boleh boleh digunakan sebagai rujukan asas untuk meleraikan pertikaian. Di Malaysia, sekiranya tiada perjanjian perkongsian, rakan kongsi tertakluk pada peruntukan dalam Akta Perkongsian 1961. Situasi ini mungkin bukan yang terbaik untuk perniagaan mahupun rakan kongsi. Perjanjian yang terperinci membolehkan rakan kongsi memilih cara menyelesaikan pertikaian yang sesuai dengan keperluan perniagaan tersebut.

Aspek kewangan lebih jelas

Perjanjian Perkongsian juga memainkan peranan penting dalam aspek kewangan. Ia menerangkan bagaimana keuntungan dan kerugian diagihkan, berapa banyak sumbangan modal yang diberikan oleh setiap rakan kongsi, apa yang akan berlaku jika seorang rakan meninggalkan perniagaan tersebut. Pelan kewangan yang jelas boleh mengelakkan konflik dan memastikan perniagaan kekal berjalan dengan lancar.

Proses pengurusan dan membuat Keputusan

Perjanjian Perkongsian juga digunakan sebagai panduan tentang proses pengurusan dan membuat keputusan dalam perniagaan. Ia boleh menetapkan siapa yang berkuasa untuk membuat sesuatu keputusan dan proses membuat keputusan perniagaan yang penting. Situasi ini dapat memastikan perebutan kuasa tidak berlaku dan perniagaan beroperasi secara efisyen.

Kelangsungan perniagaan

Akhir sekali, Perjanjian Perkongsian juga amat penting untuk kelangsungan sesebuah perniagaan. Perjanjian tersebut boleh menyatakan kesan terhadap perkongsian sekiranya terdapat rakan kongsi meninggal dunia, atau menjadi tidak berupaya. Ini dapat memastikan perniagaan terus beroperasi jika keadaan tersebut berlaku. Jika tidak terdapat perjanjian, perkongsian tersebut mungkin dibubarkan secara automatik, dan boleh menjejaskan perniagaan dan berpotensi mendatangkan kerugian kewangan.

Keperluan dan Pertimbangan Undang-undang

Pendaftaran perkongsian

Perkongsian perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Penalti boleh dikenakan sekiranya perkongsian tidak didaftarkan.

Liabiliti undang-undang

Rakan kongsi bertanggungjawab secara bersesama dan berasingan untuk semua hutang dan tanggungjawab firma. Setiap rakan kongsi boleh menannggung liabiliti secara peribadi/perseorangan terhadap jumlah keseluruhan sebarang hutang yang ditanggung oleh perkongsian tersebut.

Kesilapan Biasa yang Perlu Dielakkan Dalam Perjanjian Perkongsian

Satu kesilapan lazim yang dibuat oleh SME dan pemula (startups) apabila memasuki suatu perjanjian perkongsian di Malaysia adalah tidak menerangkan peranan dan tanggungjawab setiap rakan kongsi dengan jelas. Dalam perjanjian perkongsian perlu dinyatakan siapa yang bertanggungjawab untuk sesuatu perkara, merangkumi dari operasi seharian sehingga kepada keputusan penting. Ini dapat mengelakkan kekeliruan dan pertikaian.

Antara kesilapan-kesilapan biasa yang lain adalah:

Tidak menyediakan cara untuk menyelesaikan pertikaian

Pertikaian merupakan perkara lumrah dalam perkongsian perniagaan. Dengan adanya proses penyelesaian yang telus dan telah dipersetujui, pertikaian kecil dapat dikawal daripada menjadi konflik yang lebih besar.

Gagal ambil kira situasi rakan kongsi keluar daripada perkongsian

Banyak SME dan startup dilihat gagal mengambil kira kesan yang berlaku apabila rakan kongsi keluar dari perniagaan. Sebuah Perjanjian Perkongsian yang dirangka dengan baik akan memasukkan klausa untuk situasi di mana rakan kongsi berniat untuk keluar dari perkongsian, atas sebab ingin bersara, kematian, atau sebab-sebab yang lain. Tanpa klausa ini, rakan kongsi yang masih kekal, mungkin berdepan dengan isu perundangan dan kewangan yang ketara.

Memandang ringan nasihat guaman

Banyak perniagaan kecil dan startup yang tidak mengambil serius tentang nasihat guaman. Ada kemungkinan perniagaan tersebut ingin mengurangkan kos dengan mendraf sendiri Perjanjian Perkongsian tanpa mengambil kira nasihat peguam. Namun, cara sebegini mungkin mengakibatkan perjanjian tersebut tidak melindungi sepenuhnya kepentingan rakan kongsi.

Tidak menyemak dan meminda Perjanjian Perniagaan

Akhir sekali, banyak SME dan startup tidak membuat semakan dan kemas kini Perjanjian Perkongsian dengan kerap. Situasi perniagaan dan rakan kongsi boleh berubah dari semasa ke semasa, jadi Perjanjian Perkongsian harus mencerminkan perubahan tersebut. Perjanjian Perniagaan yang tidak dikemas kini boleh membuatkan perjanjian tersebut kurang efektif dan lapuk.

Elemen Penting yang Perlu Ada Dalam Perjanjian Perkongsian

Maklumat dan butiran pihak yang terlibat

Elemen utama yang perlu dinyatakan dalam sebuah Perjanjian Perkongsian di Malaysia adalah indentiti pihak-pihak yang terlibat. Maklumat yang diperlukan adalah nama penuh dan alamat setiap rakan kongsi, selain daripada nama perniagaan perkongsian tersebut.

Tempoh perkongsian

Elemen kedua adalah tempoh masa perkongsian. Tempoh masa bermaksud sama ada dalam jangka masa yang telah ditetapkan atau sehingga suatu peristiwa tertentu berlaku. Jika tiada tempoh spesifik ditetapkan, perkongsian dianggap atas “kerelaan”, bermaksud ia boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh mana-mana rakan kongsi.

Tujuan perkongsian

Perjanjian tersebut perlu menyatakan tujuan perkongsian. Ia perlu ditakrifkan dengan jelas untuk mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan. Selain itu, perkara seperti tempat perniagaan juga perlu dinyatakan kerana ia boleh mempunyai implikasi undang-undang.

Suntikan modal

Perkara seterusnya adalah modal sumbangan setiap rakan kongsi. Ini termasuk jumlah wang, harta atau perkhidmatan yang disumbangkan oleh setiap rakan kongsi kepada perkongsian. Perjanjian juga perlu menyatakan agihan untung dan rugi antara rakan kongsi.

Peranan dan tanggungjawab

Perjanjian ini juga perlu menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap rakan kongsi. Perkara ini meliputi tugas pengurusan, proses membuat keputusan dan apa yang akan berlaku sekiranya tiada kata putus dapat dicapai.

Penyelesaian pertikaian

Perjanjian tersebut juga perlu mengandungi peruntukan untuk penyelesaian pertikaian. Antara peruntukan relevan adalah seperti mediasi, timbang tara atau litigasi. Selain itu, perjanjian tersebut juga perlu menyatakan secara khusus undang-undang yang digunapakai untuk perjanjian itu.

Pembubaran perkongsian

Akhir sekali, perjanjian tersebut perlu mengandungi klausa berkenaan pembubaran perkongsian. Pembubaran ini boleh berpunca daripada kematian atau kebangkrapan rakan kongsi mahupun penjualan perkongsian itu sendiri. Perjanjian tersebut perlu nyatakan bagimana aset dalam perkongsian akan diagihkan sekiranya berlakunya pembubaran.

Sumber untuk SME dan Startup di Malaysia Berkenaan Perjanjian Perkongsian

SME dan startup di Malaysia boleh menggunakan pelbagai sumber yang dapat membantu dalam sebagai rujukan untuk Perjanjian Perkongsian.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah antara sumber yang paling penting. Ia menyediakan panduan dan sumber yang komprehensif mengenai peraturan dan prosedur perniagaan, termasuk Perjanjian Perkongsian.

Badan Peguam Malaysia

Malaysian Bar menawarkan nasihat guaman dan bantuan SME dan startup. Selain itu, badan ini boleh memberi bimbingan terhadap aspek perundangan dalam Perjanjian dan membantu perniagaan memahami hak-hak dan kewajipannya.

Persatuan SME Malaysia

Persatuan SME Malaysia menawarkan sumber informasi yang meluas selain serta sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana, termasuk nasihat tentang Perjanjian Perkongsian. Selain daripada itu, organisasi ini turut menganjurkan program-program yang menyediakan pandangan praktikal.

Firma guaman khusus dalam undang-undang perniagaan

Firma guaman yang memiliki kepakaran dalam undang-undang perniagaan turut bersedia membantu SME dan startup. Firma ini dapat membantu dari segi nasihat pakar dan khidmat merangka Perjanjian Perkongsian yang mematuhi undang-undang di Malaysia dan melindungi kepentingan perniagaan tersebut.

Inisiatif kerajaan

Inisiatif kerajaan seperti SME Corp dan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) turut sama memberikan sokongan dan menyediakan sumber untuk SME dan stratup. Organisasi tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti nasihat perundangan untuk Perjanjian Perkongsian.

Kesimpulan

Bagi memastikan sesebuah perniagaan perkongsian yang berjaya dan lancar, Perjanjian Perkongsian yang lengkap dan sah yang kukuh sangat diperlukan. Anda perlu mendapatkan panduan yang jelas, pemahaman bersama, dan ketelusan penuh dari semua pihak yang terlibat. Selain itu, khidmat bantuan guaman mampu mengelakkan salah faham atau isu undang-undang. SME dan startup berupaya menguruskan Perjanjian Perkongsian dengan efektif dengan mengikuti panduan dalam artikel ini, sekaligus membentuk suasana kerjasama yang menyokong perkembangan, kestabilan dan bermanfaat untuk semua rakan kongsi.

Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.