Di Malaysia, majikan boleh tamatkan perkhidmatan pekerja yang telah mencapai umur persaraan minimum yang ditetapkan oleh undang-undang. Artikel ini akan mengupas aspek perundangan umur persaraan di Malaysia bagi pekerja swasta. Berikut merupakan enam perkara asas yang anda perlu tahu tentang umur bersara minimum di Malaysia.

1. Akta Umur Persaraan Minimum 2012

Umur persaraan minimum di Malaysia tertakluk di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (“Akta tersebut”). Ia mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 dan kali terakhir dipinda pada tahun 2016. Akta tersebut terpakai untuk pekerja swasta sepenuh masa dan tidak terpakai untuk penjawat awam.

2. Akta umur persaraan di Malaysia tidak terpakai untuk semua pekerja

Tidak semua rakyat Malaysia yang bekerja tertakluk di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012. Ini kerana, menurut Jadual dalam Seksyen 2 Akta tersebut, kategori pekerja yang dikecualikan adalah:

  • individu berjawatan tetap, sementara ataupun kontrak yang dibayar emolumen oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, mana-mana badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan;
  • perantis yang bekerja di bawah kontrak perantis;
  • pekerja dalam tempoh percubaan;
  • pekerja asing (bukan warganegara);
  • pekerja domestik;
  • pekerja yang bekerja dengan purata waktu bekerja yang tidak melebihi 70% daripada waktu kerja biasa pekerja sepenuh masa (contohnya pekerja separuh masa);
  • pelajar yang bekerja di bawah sebarang kontrak bagi suatu pekerjaan sementara tetapi bukan termasuk pekerja yang sedang cuti belajar atau pekerja yang sedang belajar secara separuh masa;
  • seseorang yang bekerja di bawah kontrak jangka tetap yang tidak melebihi 2 tahun;
  • seseorang yang bekerja di bawah kontrak jangka tetap yang melebihi 2 tahun tetapi tidak lebih dari 5 tahun dengan gaji pokok RM20,000 dan ke atas; dan
  • seseorang yang telah bersara pada umur 55 tahun atau ke atas dan kemudiannya diambil semula bekerja selepas bersara, sebelum tarikh Akta tersebut dikuatkuasakan (1 Julai 2013).

3. Umur bersara minimum

Menurut Seksyen 4(1) Akta tersebut, umur bersara swasta di Malaysia adalah 60 tahun. Sebelum Akta tersebut dikuatkuasakan, umur persaraan minimum di Malaysia adalah 55 tahun. Seksyen 5(1) Akta tersebut menyatakan majikan tidak boleh menamatkan perkhidmatan pekerja sebelum mencapai pekerja tersebut mencapai umur 60 tahun. Jadi, sebelum seseorang pekerja mencapai hari lahir yang ke-60, majikan mereka tidak boleh meminta mereka bersara awal. Seterusnya, Seksyen 5(2) dalam Akta tersebut menyatakan jika Seksyen 5(1) tidak dipatuhi, ia dianggap sebagai suatu kesalahan. Sekiranya didapati bersalah, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

4. Bagaimana pula jika pekerja bersara paksa lebih awal?

Jika seseorang pekerja telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal oleh majikan, pekerja mempunyai pilihan di bawah Seksyen 8:

  • Membuat aduan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja dalam tempoh 60 hari dari tarikh dibersarakan: ATAU
  • Memfailkan representasi untuk pemecatan tidak adil di bawah Seksyen 20 dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Jika seseorang pekerja telah memfailkan aduan bertulis kepada Ketua Pengarah, permohonan untuk pemecatan tidak adil (unfair dismissal) hanya boleh dibuat apabila aduan bertulis tersebut telah didengar oleh Ketua Pengarah. Jika permohonan pemecatan tidak adil didapati telah difailkan ketika aduan bertulis sedang disiasat, Ketua Pengarah tidak akan meneruskan siasatan terhadap aduan bertulis bagi mengelakkan permohonan bertindih (aduan bertulis dan representasi pemecatan secara tidak adil).

Jika Ketua Pengarah mendapati bahawa pekerja tersebut telah dibersarakan lebih awal atau bersara paksa dari waktu yang sepatutnya, beliau mempunyai kuasa di bawah Seksyen 8 (5) (b) Akta tersebut, untuk memerintahkan majikan:

  • Untuk mengembalikan semula pekerjaan kepada pekerja tersebut dan membayar sebarang tunggakan gaji yang dikira dari tarikh pekerja itu dibersarakan awal sehingga tarikh pekerjaan dikembalikan semula; ATAU
  • Untuk membayar pampasan jika sebagai ganti kepada pengembalian semula pekerjaan, tidak melebihi jumlah gaji pekerja tersebut dikira dari tarikh pekerja bersara awal sehingga tarikh pekerja mencapai umur persaraan.

5. Pilihan jika Ketua Pengarah menolak aduan yang dibuat di bawah Seksyen 8

Sekiranya, selepas siasatan dijalankan Ketua Pengarah telah menolak aduan persaraan pramatang, pekerja yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam masa 30 hari dari keputusan diberikan, atau sebagai alternatif, meneruskan permohonan pemecatan secara tidak adil di Mahkamah Perusahaan.

6. Bersara pilihan

Sekiranya pekerja telah menandatangani kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif yang mengandungi klausa khusus tentang bersara pilihan, pekerja tersebut boleh bersara secara sukarela apabila mencapai umur yang dinyatakan dalam klausa khusus. Jadi, dengan persetujuan bersama antara pekerja dan majikan, majikan boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja apabila mencapai sebarang umur di bawah 60. Namun, jika kontrak perkhidmatan tidak menyatakan umur persaraan pilihan, pekerja tersebut berhak untuk terus bekerja sehingga umur persaraan purata bagi pekerja dalam bidang itu.

Kesimpulan

Terdapat cadangan yang menggesa agar umur persaraan dikaji semula. Ia termasuk umur persaraan di Malaysia dinaikkan lebih daripada 60 tahun atas faktor ekonomi semasa dan kos sara hidup meningkat. Namun, setakat 2022 kerajaan tidak memiliki perancangan untuk menaikkan umur persaraan statutori. Ini kerana kenaikan daripada 55 ke 60 tahun sebelum ini. Usia bersara 60 tahun yang dinyatakan dalam Akta tersebut hanyalah umur minimum sahaja. Tiada penalti dikenakan untuk membenarkan pekerja mencapai umur 60 tahun dan ke atas untuk terus bekerja mengikut kerelaan sendiri. Umur bersara bagi pekerja perlu dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara pekerja dan majikan. Selain itu, ia juga mesti mengambil kira prestasi kerja, kesihatan dan produktiviti pekerja.

Isi kandungan ini telah ditulis dan disemak oleh peguam. Namun, ia tidak dianggap sebagai nasihat guaman. Kami sentiasa sarankan anda untuk dapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.